KOTA BHARU: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan merperkosa cucunya yang berusia 13 tahun termasuk satu tuduhan memasukkan objek ke rongga badan remaja itu di dalam bilik tidur sebuah rumah di Bachok dekat sini.
Tertuduh yang berusia 79 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut empat pertuduhan, warga emas itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lapan bulan hingga 13 tahun sebulan ketika kejadian tanpa kerelaannya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik tidur sebuah rumah di Bachok dekat sini pada 11 Januari, 24 Mac, 9 Mei dan 4 Jun 2026.
Pertuduhan bagi keempat-empat pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh turut didakwa atas pertuduhan memasukkan objek ke dalam rongga badan mangsa sama yang ketika itu berusia 12 tahun lapan bulan tanpa kerelaannya di lokasi sama kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada 11 Januari 2026.
Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nur Syafiqah tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan warga emas itu diikat jamin selepas mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang merupakan kanak-kanak bawah umur.
Mahkamah turut menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN










