PUTRAJAYA: Golongan wanita di Malaysia kini membentuk majoriti dalam perkhidmatan awam negara apabila mewakili 59 peratus atau meliputi 765,000 daripada keseluruhan penjawat awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkembangan itu sekali gus membuktikan peranan golongan itu semakin penting dalam pentadbiran dan pembangunan negara.
“Pencapaian itu selari dengan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga buruh negara yang menunjukkan trend positif sejak empat dekad lalu.
“Daripada 45.7 peratus pada 1982, kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.2 peratus pada 2023 dan kita menyasarkan kadar itu mencapai 60 peratus menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) PUSPANITA Ke-44 di sini hari ini.
Katanya, wanita bukan sahaja menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah merupakan rakan strategik dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
Shamsul Azri berkata, beliau yakin sasaran yang ditetapkan di bawah kerangka Ekonomi Madani mampu dicapai berdasarkan perkembangan memberangsangkan yang direkodkan setakat ini.
“Peningkatan itu membuktikan wanita terus menjadi rakan strategik dalam pembangunan negara serta penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata, dalam menghadapi cabaran dunia hari ini, kerajaan komited untuk menjaga kebajikan rakyat dan memacu ekonomi memerlukan sokongan padu seluruh lapisan masyarakat.
“Di sinilah saya melihat PUSPANITA memainkan peranan sebagai rakan
strategik dalam melahirkan masyarakat yang bertunjangkan nilai insaniah yang menyeluruh dan berdaya tahan,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Azri menegaskan, konsep MADANI bukan bersifat politik, sebaliknya adalah nilai kemanusiaan yang perlu ada dalam setiap rakyat demi membina bangsa, negara dan untuk memastikan kesejahteraan rakyat keseluruhannya. – UTUSAN










