KOTA BHARU: Penduduk Mukim Parit Tengah, Salor di sini mendedahkan mereka pernah berdepan detik sukar apabila van jenazah rosak secara tiba semasa dalam perjalanan membawa mayat ke tanah perkuburan untuk urusan pengkebumian.
Bagaimanapun, penduduk Mukim Parit Tengah mampu menarik nafas lega apabila menerima sumbangan van jenazah dari Etiqa Takaful dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim.
Mengimbau semula kejadian itu, Imam Tuan Masjid Al-Azim, Zakaria Mat Zin berkata, situasi tersebut menyebabkan pihaknya terpaksa meminta bantuan dari masjid berdekatan untuk membawa jenazah sehingga ke tanah perkuburan.
Katanya, keadaan itu memberikan kesukaran kepada pihak masjid untuk menguruskan jenazah tersebut.
“Masalah ini berlarutan sekian lama dan saya sudah berkhidmat di sini selama 28 tahun. Di sini kami mempunyai tiga kawasan perkuburan utama iaitu Kubur Tok Jebak, Kubur Jinereh dan Kubur Keladang.
“Keadaan menjadi lebih mencabar apabila lokasi tanah perkuburan terletak pada jarak berbeza dan ada antaranya agak jauh dari kawasan masjid,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zakaria memberitahu, dia dan pengurusan masjid meluahkan rasa syukur apabila impian untuk menikmati kemudahan van jenazah baharu menjadi kenyataan.
Katanya, ia sekali gus memudahkan urusan membawa jenazah ke tanah perkuburan bagi tujuan pengkebumian.
Sementara itu Zafri berkata, sebanyak empat buah van jenazah telah diserahkan kepada komuniti yang memerlukan sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.
Katanya, ia melibatkan perbelanjaan lebih RM500,000.-UTUSAN










