NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memasuki tahun ke-26 penubuhan terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang mengangkat kecemerlangan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, selari dengan semangat hijrah yang menuntut perubahan.
Pro Canselor USIM, Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz bertitah, semangat hijrah perlu terus dihayati sebagai pemangkin transformasi diri, pengukuhan institusi dan pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera.
Tunku Zain bertitah, peristiwa hijrah Rasulullah bukan sekadar catatan sejarah perpindahan dari Mekah ke Madinah, sebaliknya menjadi titik tolak penting dalam pembinaan tamadun Islam yang unggul.
“Hijrah yang sebenar bukan hanya perubahan luaran, tetapi menuntut keberanian untuk memperbaiki diri, meninggalkan perkara yang tidak baik dan berusaha menjadi insan yang lebih dekat kepada Allah.
“Justeru, semangat hijrah wajar terus disemarakkan dalam diri setiap individu, institusi dan masyarakat,” titah Tunku Zain ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat USIM 1448H/2026M di Kompleks Islam Tuanku Muhriz.
Tunku Zain Al-‘Abidin bertitah, tema sambutan tahun ini ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati” membawa mesej penting agar nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan diterapkan dalam kehidupan seharian.
Katanya, kekuatan sesebuah masyarakat tidak hanya diukur berdasarkan kemajuan material, sebaliknya bergantung kepada keteguhan nilai, akhlak serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
“Universiti bukan sekadar tempat melahirkan graduan, tetapi medan membentuk pemikir, melahirkan pemimpin dan menyemai hikmah.
“Pendidikan yang sebenar perlu membawa kepada kefahaman mengenai tanggungjawab insan terhadap masyarakat serta hubungan dengan Tuhan,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan Haflah Al-Quran Istimewa Maal Hijrah, sesi tadabur al-Quran, penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah serta simbolik sambutan ulang tahun ke-26 USIM.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkata, universiti itu terus komited memartabatkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam usaha melahirkan graduan holistik serta berdaya saing.
Beliau berkata, kejayaan USIM sepanjang 26 tahun penubuhannya terbukti menerusi kelahiran ribuan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah membawa nilai integriti dan akhlak dalam kehidupan bermasyarakat.
“Manfaatkan peluang ini untuk menimba ilmu, membina sahsiah dan membentuk masa depan yang bukan sahaja cemerlang untuk diri sendiri, malah memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan negara,” katanya.-UTUSAN










