Sebuah sistem e-parenting berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan hasil kerjasama antara pakar pendidikan awal kanak-kanak dan industri teknologi dilancarkan sempena sambutan Hari Guru bagi membantu ibu bapa menangani pelbagai isu tingkah laku dan perkembangan anak-anak.
Pengarah Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof. Dr. Nordin Mamat berkata, beliau bekerjasama dengan Akademi-AI bagi membangunkan sistem berkonsepkan “Ask Prof” yang menterjemahkan hasil kajian serta pengalaman beliau dalam bidang keibubapaan kepada platform AI interaktif.

Menurut beliau, idea tersebut tercetus selepas menyedari masyarakat kini lebih cenderung menggunakan platform digital berbanding membaca buku.
“Sistem yang kita lihat di sini ialah masterclass parenting menggunakan kajian dan pengalaman yang saya sudah buat, kemudian diterjemahkan dalam bentuk e-parenting dan AI. Istilah paling mudah ialah ‘Ask Prof’.
“Daripada hasil kajian lebih tiga tahun, kita rasa orang sekarang tak baca buku, mereka lebih suka digital. Jadi saya fikir ini mungkin jalan penyelesaian untuk generasi akan datang,” katanya kepada Utusan Pelajar ketika ditemui pada majlis pelancaran Sistem AskProf sempena Pameran Private and International School (PISF) di ibu negara baru-baru ini.
Beliau berkata, sistem itu turut menjadi simbol kerjasama pintar antara universiti dan industri teknologi bagi memastikan ilmu akademik dapat dimanfaatkan masyarakat secara lebih meluas.
“Kepakaran industri dalam bidang AI digabungkan dengan ilmu, kemahiran dan kandungan akademik daripada universiti untuk menghasilkan platform yang lebih praktikal kepada pengguna.
“Ilmu bukan untuk terkumpul di universiti sahaja. Kita mahu bawa keluar kepada masyarakat. Saya rasa ini yang pertama di Malaysia yang menggabungkan AI dan parenting secara khusus.
“Kalau AI lain mungkin bersifat umum, tetapi sistem ini lebih spesifik kerana hampir semua jawapan adalah berdasarkan buku, penulisan dan kajian saya sendiri,” katanya.
Tambah beliau, sistem itu dibangunkan khusus untuk membantu ibu bapa yang sering berdepan kesukaran memahami tingkah laku anak-anak.
Katanya, pengguna boleh bertanya pelbagai soalan berkaitan perkembangan kanak-kanak termasuk isu anak menangis, lambat bercakap, agresif atau masalah tingkah laku lain.
“Saya sediakan kira-kira 25 kaedah bagaimana membimbing tingkah laku kanak-kanak. Kadang-kadang ibu bapa tidak tahu apa yang perlu dibuat apabila anak ada masalah tertentu.
“Sebab itu kita mahu jadikan sistem ini sebagai penyelesaian supaya ibu bapa tidak lagi terkial-kial mencari jawapan.

Nordin Mamat (kanan) dan Muhd.Haris Hamzah menunjukkan sistem rujukan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di ibu negara baru-baru ini.
“Sasaran utama sistem ini diwujudkan ialah golongan ibu bapa selain guru, tadika dan taska menerusi sesi penerangan serta perkongsian di institusi pendidikan awal kanak-kanak.
“Malah, sistem ini juga boleh dijadikan sebagai medium bantuan kepada guru dalam membimbing ibu bapa memahami perkembangan anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, motivasi utama penciptaan sistem tersebut adalah meningkatkan kesedaran ibu bapa bahawa pelaburan terbaik untuk anak-anak adalah pada usia lahir hingga enam tahun.
Nordin berkata, sistem berkenaan akan terus ditambah baik dan kandungannya sentiasa dikemas kini berdasarkan penyelidikan, kertas akademik serta perkembangan baharu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak bagi memastikan jawapan yang diberikan sentiasa tepat dan relevan.
“Kami turut merancang memperluas sistem ini kepada bentuk kursus AI dan micro-credential pada masa hadapan bagi membolehkan ibu bapa serta guru memperoleh sijil latihan secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan memberi perhatian terhadap pendidikan awal boleh menyebabkan kelewatan pembelajaran yang berpanjangan termasuklah antaranya masalah membaca sehingga ke sekolah rendah.
“Kalau anak tidak boleh membaca dan isu itu berlanjutan sehingga Darjah Tiga, ia sangat bahaya. Oleh itu, kita mahu ibu bapa didedahkan awal bahawa pelaburan masa dan kewangan pada peringkat awal sangat bermakna.
“Saya juga berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, masalah pembelajaran dan isu tidak boleh membaca dapat dikurangkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan, Akademi Interaktif Sdn. Bhd., Muhd. Haris Hamzah berkata, sistem tersebut dibangunkan bagi membawa ilmu akademik keluar daripada ‘dinding universiti’ kepada masyarakat.
Menurut beliau, pihaknya mula berbincang dengan Nordin pada Oktober tahun lalu sebelum mengambil masa antara enam hingga lapan bulan untuk membangunkan sistem berkenaan.
“Tujuan kita cipta sistem ini adalah untuk memudahkan para profesor dan pengguna seperti ibu bapa serta guru tadika merujuk kepada profesor secara terus melalui sistem kami.
“Kita mahu bawa ilmu daripada gudang universiti ke lapangan masyarakat,” katanya.
Muhd. Haris berkata, sistem itu kini telah siap sepenuhnya dan tersedia untuk digunakan menerusi konsep langganan bulanan serendah RM45.
“Pengguna boleh mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan keibubapaan dan perkembangan anak secara terus kepada sistem AI tersebut,” katanya. –UTUSAN









