PETALING JAYA: Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) perlu mempercepatkan proses penempatan semula pelarian Rohingya ke negara ketiga.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), Jismi Jahari berkata, Malaysia hanyalah sebuah negara transit dan bukan penyelesaian jangka panjang bagi krisis pelarian Rohingya.
“Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan bukan negara penerima, menjadikan tanggungjawab penempatan semula sebagai mandat teras UNHCR yang perlu dilaksanakan dengan lebih pantas dan agresif.
“Segelintir pelarian Rohingya telah menunggu sehingga 15 tahun di Malaysia adalah bukti jelas bahawa proses ini terlalu lambat.
“Lebih 200,000 pelarian di Malaysia telah memberi tekanan nyata kepada ekonomi, perkhidmatan awam, keselamatan komuniti dan struktur sosial negara dan beban itu tidak sepatutnya dipikul oleh Malaysia dan rakyatnya semata-mata,” kataya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kad UNHCR tidak memberikan kekebalan daripada undang-undang Malaysia sebaliknya hanya memberi perlindungan daripada punca yang menyebabkan seseorang menjadi pelarian iaitu kekejaman junta tentera Myanmar.
“Setiap individu yang berada di bumi Malaysia tanpa mengira status wajib mematuhi undang-undang, menghormati budaya dan nilai-nilai masyarakat Malaysia.
“Terdapat 40 pertubuhan NGO Rohingya yang menandatangani kenyataan berkaitan untuk memperluaskan peranan mereka melebihi sekadar bantuan makanan dan tempat tinggal.
“Ia jua termasuk mendidik komuniti pelarian tentang tanggungjawab mereka sebagai tetamu di negara transit serta memberi tekanan antarabangsa yang lebih kuat kepada junta tentera Myanmar,” katanya.
Katanya, aspek keselamatan adalah dua hala iaitu pelarian berhak untuk selamat di negara transit dan masyarakat Malaysia juga berhak berasa selamat dengan kehadiran mereka pada masa yang sama.
“Kami akan terus melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan yang berpaksikan keadilan, keselamatan dan maruah manusia, untuk semua pelarian dan rakyat Malaysia,” katanya.-UTUSAN










