Ulasan Polong: Tapi kita semua cuma terdesak, bukan? - Utusan Malaysia

Ulasan Polong: Tapi kita semua cuma terdesak, bukan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Polong mengambil latar tahun 1994 hingga awal 2000-an, saya ingin membawa anda pulang kepada sejarah tentang apa yang terjadi kepada negara ini ketika itu. Malaysia dihambat episod luka, ketegangan politik dan sebuah rasa terdesak dengan Krisis Kewangan Asia, konflik Anwar-Mahathir juga permulaan projek mega di bawah Wawasan 2020.

Pengarah, Zulkarnain Azhar merakam kelesuan era itu dengan rumah flat kos rendah ‘sudah macam jin bertendang’ terbiar, buruk dan busuk. Walau sistem perairan sudah tidak berfungsi sempurna, tapi masih ada yang tinggal di sana kerana kononnya ada satu projek besar akan dibangunkan dan harga rumah ini bakal melambung jika dijual.

Ketika itu, Polong memperkenalkan kita dengan Fatima, satu-satunya wartawan yang berjaya mendapatkan temu bual eksklusif pembunuh kontroversi, Maria Hadi. Artikel yang ditulis Fatima sepatutnya penting kerana itu bakal menjadi satu-satunya temu bual terakhir Maria sebelum ke tali gantung.

Namun, dalam zaman manusia putus harapan kepada sistem politik, dibuang kerja, tidak cukup makan, tulisan Fatima yang lunak bukan apa yang masyarakat perlukan, kata editornya. Walau saya harus akui beberapa soalan Fatima kepada Maria juga agak membosankan.

Namun, masyarakat memerlukan pelarian dengan cerita-cerita picisan apakah Maria Hadi boleh terbang. Ahli politik sudah tertentu memerlukan bahan untuk masyarakat sembangkan selain daripada persoalan apa sudah jadi dengan negara ini.

Lebih-lebih lagi, Maria Hadi mangsa yang mudah, dia sudah dalam penjara dan siapa pula akan membelanya. Kedegilan Fatima kepada etika dijahanamkan editor sendiri. Ditambah pula dengan rasa terdesak menyara biawak hidup bernama Mamat membuatnya tamak, mencari ‘harta’ ditinggalkan Maria Hadi.

 


Kita tahu tindakan itu salah, tapi kita tahu mengapa mereka melakukan itu kerana rasa terdesak yang begitu membelengu. Zulkarnain menzahirkan itu dalam bingkai, menunjukkan visual seperti terperangkap, busuk dan kita mendapatkan rasa itu sebagai penonton. Sesekali Zulkarnanin menunjukkan wide angle memberikan sebuah rasa kosong, sendiri, terasing seperti yang dihadapi Fatima.

Ketika khabar dari kerajaan adakah projek mega masih diteruskan atau tidak, mereka sedar tiada jaminan boleh membantu menyebabkan Mamat mencari kuasa lain yang dirasakan boleh menyelamatkannya. Namun begitu, perlu kita ingat, Polong bersifat diwarisi dan mewarisi. Mamat mahu mewarisi kesyaitanan Maria Hadi walaupun wanita itu mungkin sudah bertaubat. Dia mahu berasa menjadi seseorang yang mempunyai kuasa setelah bertahun-tahun lama hidup macam mayat hidup.

Zulkarnain menggunakan struktur bercerita Rashomon Effect, iaitu cerita dipecahkan mengikut fragmen karakter dan bagaimana ia sepatutnya memberi kita pandangan baharu terhadap adegan atau perkara yang sama. Gaya ini sudah digunakan banyak pembikin filem cuma mungkin masih langka di Malaysia membuatkan ada sebilangan penonton meloncat ‘tak faham’ sebab tak biasa.

Walaupun saya setuju Zulkarnain memberikan sebuah gaya baharu dalam seni bercerita filem di Malaysia, saya masih berpandangan bahawa dia masih boleh melakukannya dengan lebih baik lagi. Ini kerana ada fragmen yang menurut saya tidak ada pun tidak mengapa, saya masih boleh faham dan dapat ceritanya seperti Mamat. Tidak memberikan apa-apa persepsi baharu berbanding yang ditawarkan fragmen Marissa.

Apapun, Polong dihasilkan dengan cukup baik untuk sebuah filem seram dan segala kritik sosial yang ada di dalamnya sehingga saya hampir tidak percaya ia lahir daripada tangan pengarah filem aksi ketenteraan. Polong tidak ditutup dengan khabar baik, kerana selalu ada kecelakaan yang diwariskan walaupun di tangan seorang yang nampak beragama dan boleh dipercaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN