Tujuh orang termasuk empat pegawai media Ahmad Zahid cedera kemalangan di LPT1

Tujuh orang termasuk empat pegawai media Ahmad Zahid cedera kemalangan di LPT1

KEADAAN kenderaan yang terlibat kemalangan di Kilometer 144.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Marang, Pahang. - IHSAN IPD MARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Tujuh individu termasuk empat pegawai media yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi cedera selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 144.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Kuala Lumpur, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dan dua lori jenis Foton serta Hicom.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati, Toyota Fortuner yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju Kuala Lumpur dipercayai gagal mengelak sebuah lori yang menukar haluan ke lorong kanan secara tiba-tiba.

Katanya, Toyota Fortuner tersebut kemudian melanggar bahagian sisi kanan lori berkenaan.

“Pada masa sama, sebuah lagi lori jenis Hicom cuba mengelak kemalangan tersebut sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semua tujuh mangsa yang menaiki ketiga-tiga kenderaan terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Jengka bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan sebuah lori yang mengubah haluan ke kanan jalan sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku.

Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook melahirkan rasa syukur apabila semua pegawai medianya yang terlibat dalam kemalangan tersebut selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut beliau, pegawai media berkenaan terlibat dalam kemalangan berhampiran Maran ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026.

“Alhamdulillah, kesemua mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan serius. Saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas perlindungan dan ihsan-Nya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya serta mendapatkan rehat yang mencukupi ketika memandu.

“Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa keselamatan di jalan raya tidak boleh dipandang ringan. Jagalah diri sebaiknya dan sentiasalah memandu dengan berhemah walau sesibuk mana sekalipun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN