JERANTUT: Seorang isteri tidak menyangka kehadiran cahaya mata pertama membawa tuah apabila suaminya yang menderita pendarahan dalam otak dan terlantar di katil kembali sihat dan boleh bangun serta bergerak di Kampung Bukit Dinding di sini.
Nurul Husna Abd Hamid, 36, berkata, suaminya, Mohamad Basri Ibrahim, 50, secara beransur-ansur mampu bangun dan berdiri serta berselera makan selepas anak sulungnya lahir pada 24 Disember tahun lalu.
“Senario ini menyebabkan saya agak terkejut kerana penyakit yang dialami oleh suami sangat kronik sehingga dia terlantar di katil dan ditidurkan beberapa lama selepas menjalani pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital FV, Ho Chi Minh, Vietnam ketika lawatan ke sana pada 17 September tahun lalu.
“Ketika suami diserang penyakit ini, saya mengandung anak pertama berusia enam bulan dan tidak menyangka kelahiran pertama membawa tuah kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Nurul Husna, suaminya dibawa pulang ke tanah air untuk menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) Temerloh setelah berada di Vietnam hampir sebulan dan dialah menjaganya sehingga kembali ke rumah.
“Kehadiran cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal Hanif secara tiba-tiba mengubah kehidupan suami daripada terlantar di katil mula boleh bergerak dan mampu bertutur walaupun mengambil masa menyebut perkataan sejak bulan Disember tahun lalu.
“Perubahan drastik berlaku awal bulan Ramadan lalu apabila suami boleh bangun dan duduk sendiri, bercakap hampir lancar dan lebih mengujakan saya, dia kerap memangku sambil ‘bergurau’ dengan anak sulung kami,” katanya.
Nurul Husna berkata, kehadiran bayi lelaki yang kini berusia berusia empat bulan menjadi sumber kekuatan suaminya untuk kembali pulih dan dia yakin akan beransur sembuh sediakala.
“Apapun saya bersyukur kerana urusan (penyembuhan penyakit) suami merupakan kehendak Allah dan ketika dia sakit saya tidak pernah putus harap berdoa setiap kali selepas solat lima waktu dan sunat tahajud,” katanya.
Utusan Malaysia pernah melaporkan insiden Mohamad Basri terjatuh dan pengsan di lobi hotel selepas melawat Bandar Raya Ho Chi Minh bersama 25 orang ahli keluarganya pada 17 September tahun lalu dan doktor di sana mengesahkan dia mengalami pendarahan dalam otak dan menjalani pembedahan. – UTUSAN










