TLDM tamat operasi Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Semporna

TLDM tamat operasi Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Semporna

MARKAS Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan rasminya melaksanakan Majlis Pembubaran Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) di Semporna, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Markas Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan rasminya melaksanakan Majlis Pembubaran Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) di Semporna, Sabah.

Majlis penuh istiadat ketenteraan itu disempurnakan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris semalam.

Ia merupakan simbolik penamatan perkhidmatan pangkalan tersebut selepas hampir sedekad menjadi benteng hadapan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara di Sabah Timur.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, pangkalan itu pada asalnya merupakan sebuah Unit Pengeluaran Luar Pesisir Bergerak dikenali sebagai Hercules 259 dan telah dibina di Houston, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1973.

Melalui usaha sama strategik antara TLDM, Petronas dan Sapura Kencana, platform itu telah ditransformasikan menjadi sebuah Pangkalan Laut Hadapan berteraskan keperluan strategik negara bagi memastikan kehadiran berterusan TLDM di kawasan berkepentingan tinggi di perairan Sabah Timur.

PL TSR mula beroperasi pada 31 Julai 2015 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Mei 2016.

Pangkalan itu dinamakan bersempena nama isteri Perdana Menteri pertama, Allahyarhamah Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, PL TSR telah digunakan sebagai sebuah platform strategik yang menyokong pelaksanaan operasi keselamatan maritim, pemantauan zon berkepentingan maritim serta memperkukuhkan kehadiran pasukan keselamatan di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE).

“Lokasinya yang strategik membolehkan tindak balas yang pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan, sekali gus menjadi simbol komitmen berterusan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Tambahnya, walaupun operasi PL TSR ditamatkan, fungsi dan peranannya sebagai pangkalan hadapan akan diambil alih oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan kehadiran dan kesiagaan operasi TLDM di kawasan strategik Sabah Timur.

TLDM akan terus memperkukuhkan keupayaan operasinya selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan landskap keselamatan maritim demi menjamin kedaulatan dan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN