KUALA LUMPUR: Tiada kata putus diberikan anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris dan Abu Bakar Md Yatim mengenai pelawaan untuk menyertai Konsert The Rayhan: Syukur 2026 di Megastar Arena 15 Ogos depan.
Menurut anggota kumpulan The Rayhan, Amran Ibrahim, sebaliknya Che Amran hanya memaklumkan akan mempertimbangkan ajakan tersebut disebabkan percanggahan kontrak dengan penganjur lain.
“Bulan lepas pihak penganjur ada menghubungi Che Am untuk sekali lagi mengajak dia dan Abu Bakar sepentas bersama kami dalam konsert itu nanti.
“Katanya dia akan mempertimbangkan kerana telah mengikat kontrak dengan penganjur lain. Jadi sehingga kini statusnya masih tergantung,” katanya.
Amran berkata demikian sempena Sidang Media Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026.
Disoal tentang isu esklusiviti konsert yang terganggu disebabkan The Rayhan kerap membuat kemunculan di tempat lain, anggotanya Ahfad tidak merasakan sedemikian.
“Pendedahan amat diperlukan tertutamanya bagi kumpulan baharu seperti kami. Walaupun Raihan sudah wujud lebih 30 tahun dulu, realitinya kita kena perkenalkan semula kumpulan ini.
Pendedahan ini adalah latihan kami. Dulu kami pernah bersama, kemudian hilang, dan hari muncul kembali. Itu yang kami perlukan.
“Kalau ditanya, banyakkah tawaran yang kami terima. Alhamdulillah masih terkawal. Fokus utama kami adalah kepada Konsert The Rahyan: Syukur 2026.
“Kemudian kita mahu lihat apa kesinambungannya selepas ini. Ada yang kata, lepas konsert, hilanglah nanti. Itu pun kami letakkan pada ketentuan yang maha esa.
“Apa pun kami melihat memang Allah berkehendak untuk kami teruskan. Bermula satu persembahan stesen televisyen, kepada persembahan lain. Allah dah susun. Abang Nazrey Johani pun pernah ingatkan kami untuk berserah dan ikut sahaja aturan Allah. Alhamdulillah, kami terima,” ujarnya. – UTUSAN










