Tiada calon gagal STPM di Perlis lima tahun berturut-turut

Tiada calon gagal STPM di Perlis lima tahun berturut-turut

Pix ROSE Aza Che Arifin (enam dari kanan) bergambar bersama pelajar cemerlang pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di Dewan Syed Mahmood Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Perlis menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila tiada calon direkodkan gagal bagi tempoh lima tahun berturut-turut.

Lima sekolah di Perlis turut memperoleh keputusan lulus penuh 100 peratus dalam peperiksaan tersebut.

Pengarah Pendidikan negeri, Rose
Aza Che Arifin berkata, seramai 371 calon direkodkan menduduki peperiksaan STPM 2025 berbanding 411 pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 0.50 peratus.

“Daripada keseluruhan calon yang hadir dan menduduki peperiksaan, seramai 364 calon sekolah kerajaan mencapai lulus penuh atau 98.11 peratus berbanding 406 calon atau 98.78 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya pada majlis pengumuman keputusan STPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini hari ini.

Rose Aza berkata, berdasarkan statistik, seramai sembilan calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 20 calon pada tahun sebelumnya.

Katanya, pencapaian PNGK negeri bagi 2025 adalah 2.82 mata, penurunan sebanyak -0.05 berbanding 2.87 mata pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, 10 daripada 17 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2025 juga telah merekodkan peningkatan peratusan pencapaian,” katanya.

Rose Aza berkata, terdapat tiga buah sekolah mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) di mana SMK Derma merekodkan pencapaian tertinggi dengan 3.18 mata berbanding 2.95 mata pada tahun sebelumnya.

Katanya, selain itu, SMK Syed Sirajuddin juga memperoleh GPS 2.65 mata manakala SMK Perlis pula mencatatkan GPS sebanyak 2.59 mata.

“Dengan pengiktirafan STPM di peringkat antarabangsa dan kualiti standard STPM, diharapkan lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih peperiksaan ini sebagai laluan perdana untuk menyambung pengajian ke peringkat pra universiti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN