DUBAI: Syarikat Malaysia dilaporkan antara entiti yang akan terlibat dalam pembinaan dan pembangunan semula Iran selepas tamatnya perang dengan Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan Reuters, pembabitan syarikat Malaysia itu termaktub di bawah perjanjian rangka kerja AS-Iran yang menggariskan penubuhan dana pelaburan swasta bernilai AS$300 bilion (RM1.2 trilion).
Dana itu untuk merangsang pelaburan di Iran dengan separuh daripadanya telah dijanjikan oleh para pelabur.
Menurut laporan itu, dana berkenaan diwujudkan bagi memberi insentif ekonomi untuk memuktamadkan perjanjian yang akan ditandatangani oleh Washington dan Teheran Jumaat ini.
Sumber itu berkata, ia adalah instrumen pelaburan swasta yang akan dinamakan Dana Pembinaan Semula dan Pembangunan yang tidak melibatkan dana atau geran kerajaan.
Sumber itu berkata, syarikat dari Korea Selatan, Jepun, Singapura dan Malaysia adalah antara yang telah menyatakan komitmen mereka, tetapi enggan mendedahkan senarai penuh pihak yang terlibat.
Selain itu katanya, syarikat yang berpangkalan di AS, negara-negara Arab-Teluk, Asia, Amerika Selatan dan Afrika juga bersetuju untuk menyediakan pembiayaan.
Sumber berkata, syarikat dari Korea Selatan, Jepun, Singapura, Malaysia dan AS antara menyatakan komitmen, tetapi enggan mendedahkan senarai penuh pihak yang terlibat.
Sumber kanan Iran memberitahu Reuters, Teheran pada asalnya menuntut pampasan sebanyak AS$400 bilion (RM1.6 trilion) daripada AS bagi kerosakan akibat perang, tetapi Washington menolak untuk menyediakannya.
Idea untuk dana tersebut, yang akan dinamakan Dana Pembinaan Semula dan Pembangunan, kemudiannya muncul.
Menurut sumber berkenaan, mekanisme dana itu membolehkan negara serantau menyumbang dalam pelbagai bentuk, termasuk menjamin pinjaman, menyediakan kemudahan kredit atau membiayai secara langsung pembinaan semula tapak yang rosak dalam perang.
Ia merangkumi kemudahan seperti kompleks Mobarakeh Steel, kilang penapisan minyak, lapangan terbang dan infrastruktur lain yang terjejas konflik.
Iran, yang merupakan antara ekonomi terbesar di Asia Barat, hampir tidak menerima pelaburan langsung asing sepanjang empat dekad lalu kerana ‘dipulaukan’ daripada pasaran modal global susulan gelombang sekatan yang dikenakan AS dan antarabangsa.
Negara itu memiliki rizab gas asli terbukti kedua terbesar di dunia dan rizab minyak keempat terbesar.
Sumber itu berkata, dana pelaburan tersebut adalah sepenuhnya berasingan daripada satu lagi rundingan yang sedang berjalan berkaitan pemansuhan sekatan AS serta pelepasan aset berdaulat Iran yang dibekukan di luar negara.
Jelasnya, kedua-dua merupakan mekanisme kewangan yang berbeza, dengan tujuan dan garis masa pelaksanaan tidak sama.
Sumber juga memberitahu, dana berkenaan tidak akan ditubuhkan atau mula beroperasi sehingga satu perjanjian muktamad yang memuaskan semua pihak dimeterai.
Memorandum persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani pula bertujuan menyediakan kerangka pelaksanaan proses tersebut dalam tempoh 60 hari akan datang. – UTUSAN










