Syarikat makanan, pengarah didakwa gagal bayar cukai jualan

Syarikat makanan, pengarah didakwa gagal bayar cukai jualan

ARIF Hasim (kiri) bersama syarikat HR Manufacturing mengaku tidak bersalah kerana gagal membayar cukai jualan di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah syarikat makanan dan pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan gagal membayar cukai jualan berjumlah RM33,787.24 pada 2024 dan tahun lalu.

HR Manufacturing Sdn. Bhd. bersama Pengarahnya, Arif Hasim, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, syarikat dan individu terbabit didakwa secara berasingan melakukan kesalahan gagal membayar cukai jualan berjumlah RM33,787.24 kepada Ketua Pengarah Kastam bagi tempoh bercukai 1 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025 dan 1 Februari 2025 hingga 31 Mac 2025.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kompleks Kastam di sini, pada 1 Mac dan 1 Mei 2025.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Muhamad Syafiq Haslan dan Nor Azilah Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Fakhruzzaman Syed Mansor.

Syed Fakhruzzaman kemudian meminta mahkamah menetapkan wang jaminan setimpal berikutan anak guamnya masih menyara keluarga dan perlu bekerja.

Mahkamah membenarkan Arif diikat jamin RM7,000 beserta seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan proses serahan dokumen.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan dan mengemukakan seorang penjamin di kaunter Kompeks Mahkamah Alor Setar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN