PETALING JAYA: Pelakon, Mimi Lana, mengakui sudah dapat merasakan kehadiran Syafiq Kyle dalam hidupnya untuk jangka masa panjang sejak kali pertama mereka bertemu.
Bagaimanapun, Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, tidak pernah menyangka lelaki itu akhirnya menjadi insan yang bergelar suaminya hari ini.
“Selamat hari lahir buat sayangku, bintangku, sahabat baikku, suamiku dan tempat selamatku.
“Terima kasih untuk perjalanan indah ini. Saya sangat mencintai awak.
“Saya sudah nampak awak dalam masa depan saya sejak hari pertama kita bertemu, cuma saya tidak pernah terbayang suatu hari nanti awak akan berdiri di sisi saya sebagai suami,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Lebih sedekad saling mengenali, pelakon filem Mencari Ramlee itu berkata perasaan cintanya terhadap Syafiq tidak pernah berubah, malah semakin utuh seiring peredaran waktu.
Menurutnya, sifat penyayang yang dimiliki suaminya itu menjadi antara faktor yang membuatkan dirinya terus mengagumi lelaki tersebut.
“Saya sangat cintakan awak dan masih ‘tergilakan’ awak setiap hari.
“Kelembutan hati, kebaikan, kesungguhan serta cara awak menjaga orang yang awak sayang sentiasa menjadi inspirasi kepada saya.
“Terima kasih kerana menjadi diri sendiri.
“Terima kasih kerana mencintai saya seadanya. Terima kasih untuk segala-galanya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Mimi berjanji akan terus setia berada di sisi Syafiq dalam mengharungi setiap fasa kehidupan bersama.
“Ketahuilah bahawa ke mana pun kehidupan membawa kita, tidak kira dalam apa jua fasa, saya akan sentiasa menjadi insan yang berdiri di samping awak.
“Kita akan melalui hari-hari yang indah, hari-hari yang sukar dan juga hari-hari yang biasa bersama-sama.
“Saya cintakan awak dan mungkin akan terus ‘mengganggu’ awak dengan kata-kata ini berulang kali supaya awak tidak lupa bahawa awak sentiasa dicintai.
“Selamat hari lahir, bintangku,” katanya.
Terdahulu, Mimi dan Syafiq sah bergelar suaminya isteri pada Februari 2025.
Mereka diraikan di sebuah majlis tertutup di kampung halaman Mimi di Taiping, Perak yabg hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat. -UTUSAN










