Sudah berapa kali saya dengar perkataan nepotisme - Mila Mohsin - Utusan Malaysia

Sudah berapa kali saya dengar perkataan nepotisme – Mila Mohsin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Mila Mohsin, mengakui sudah lali mendengar namanya dikaitkan dengan isu nepotisme selepas dipilih menyandang watak utama dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical, Oktober ini.

Mila atau Hani Karmila Hani Mohsin, 31 menafikan dakwaan pilih kasih malah ibunya, Tiara Jacquelina juga tidak mengetahui bahawa dia akan mengikuti sesi ujibakat untuk karakter Puteri Gunung Ledang (PGL ) pada awalnya.

“Sudah berapa kali saya dengar perkataan nepotisme ini. Orang akan fikir apa yang mereka nak fikir, saya tidak boleh halang. Namun bagi saya, biarlah hasil kerja yang berbicara. Jika ada yang masih ragu-ragu, datanglah tonton persembahan itu nanti.

“Saya bekerja keras dan melakukan yang terbaik setiap hari kerana saya percaya kualiti kerja akan membuktikan segalanya.

“Saya sebenarnya tidak beritahu Mama pun yang saya mahu pergi uji bakat itu sampailah minggu terakhir. Apabila saya beritahu, Mama terkejut dan bertanya adakah saya serius.

“Itu cara saya meminta restu. Selebihnya, saya uruskan sendiri dengan pasukan produksi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika tayangan Good Boys Go To Heaven, semalam.

Tegas Mila, seperti calon lain, dia juga melalui proses ujibakat yang tidak mudah sepanjang dua minggu malah mengikuti kelas nyanyian bersama cikgu Juliza Adlizan.

“Uji bakat itu bukan sehari, ia berlangsung selama dua minggu dengan beberapa kali sesi ‘callback’. Banyak pusingan yang saya kena lalui kerana ini PGL, bukannya watak biasa-biasa.

“Mama sebagai pengarah pun tidak akan sesuka hati pilih orang, apatah lagi anak sendiri kalau benar-benar tidak layak. Alhamdulillah, apabila dia rasa saya cukup bagus, saya akan terus bekerja keras untuk buat dia dan seluruh rakyat Malaysia bangga,” tambahnya lagi.

Terdahulu timpul dakwaan beberapa pihak apabila Mila Mohsin dipilih menjadi Puteri Gunung Ledang sekali gus mengaitkan dakwaan nepotisme memandangkan ibunya merupakan penerbit eksekutif. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN