Suara tidak lagi seperti dulu, Jamal Abdillah pertimbang bersara - Utusan Malaysia

Suara tidak lagi seperti dulu, Jamal Abdillah pertimbang bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA: Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah mengakui sedang mempertimbangkan untuk mengundurkan diri daripada dunia nyanyian sekiranya keadaan kesihatan suaranya tidak kembali pulih seperti sediakala.

Menurut Jamal, perkara itu timbul selepas dia merasakan kemampuan vokalnya semakin berbeza berbanding dahulu sejak menjalani pembedahan hernia, baru-baru ini.

“Pengumuman yang pertama dulu sebenarnya saya bergurau di pentas. Ketika itu saya menyanyi dengan anak-anak muda dan saya diberi tanggungjawab untuk menyanyi akhir sekali. Jadi saya bergurau di pentas bahawa saya lepas ini nak bersara.

“Tapi yang kedua ini, saya rasa penyampaian saya sudah tidak berapa seperti dahulu. Saya perlu berubat dan berehat selama dua bulan untuk betulkan balik kotak suara saya. Kalau sekiranya masih macam itu juga, saya rasa lebih baik saya bersara,” katanya.

Jamal berkata demikian ketika ditemui di sidang media Datuk Jamal Abdillah (DJA) Show di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pada Khamis.

Bagaimanapun, penyanyi yang sudah mencecah lima dekad mewarnai industri muzik tanah air itu menegaskan keutamaannya kini adalah mengembalikan semula kemampuan vokal agar dapat memberikan persembahan yang memuaskan kepada peminat setianya.

“Bagi seorang penyanyi, sebenarnya dia tiada istilah bersara. Dia akan sampai bila-bila menyanyi. Bagi saya lah. Tapi saya akan cuba mengembalikan perubahan supaya suara saya ini boleh kembali seperti dulu.

“Kerana KPI saya, kalau kita menyanyi, kita menyanyi. Kalau sekadar menyanyi lagu yang diturunkan ‘key’, saya sudah tidak capai KPI saya. Saya rasa seperti tidak dapat memuaskan hati penonton yang ada.

“Itu adalah tujuan utama saya naik atas pentas. Bukan duit ringgit, bukan populariti. Saya nak orang rasa apa yang saya sampaikan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Jamal mendedahkan jadual kerja yang terlalu padat sepanjang tahun ini mungkin menjadi antara faktor yang memberi kesan kepada keadaan suaranya.

“Sebenarnya sebulan lepas, sebelum saya menjalani pembedahan hari itu, dalam bulan puasa saya menyampaikan antara 25 hingga 40 buah lagu satu malam selama tujuh hari.

“Tapi selepas saya menjalani prosedur tersebut, saya ada nampak perbezaan. Mungkin kerana saya tidak berehat langsung. Setahun ini memang penuh jadual saya. Untuk kotak suara saya berehat memang tak ada.

“Doktor suruh saya berehat dan menjalani rawatan, tetapi tanggungjawab saya yang telah dipersetujui perlu diselesaikan. Jadi saya teruskan juga,” kongsinya.

Meskipun berdepan cabaran kesihatan, pelantun lagu Penghujung Rindu itu masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu memperlahankan langkah apabila bakal memasuki studio rakaman bagi menghasilkan single baharu dalam masa terdekat.

“Itulah yang saya dah cakap tadi, saya tak sempat nak berehat langsung. Pada 28 haribulan ini saya akan ada rakaman lagi untuk sebuah lagu single baharu yang dicipta oleh komposer Singapura.

“Jadi saya memang tidak berehat. Lepas rakaman DJA Show ini saya akan terus merakamkan sebuah lagu baharu yang berjudul Ihdina,” katanya.

Mengenai DJA Show, Siri Muzikal Aku Jamal: Suara Emas Digital berikut merupakan program 13 episod yang mempersembahkan 98 buah lagu Raja Pop tersebut, selain turut menampilkan beberapa artis jemputan.

Siri muzikal tersebut akan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV2 selama 13 minggu berturut-turut bermula pada Julai depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN