KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan SOG, Raja Nazrin Shah tidak menyangka rakaman soal jawab spontan bersama adiknya, Raja Nazmin Shah mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial yang memuji kepantasan mereka menjawab soalan.
Raja Nazrin atau Raja Nazrin Shah Raja Azaham, 39, berkata, video tersebut dirakam secara bersahaja tanpa sebarang perancangan untuk dijadikan kandungan tular dan hanya sesi soal jawab biasa sebelum persembahan.
“Saya sendiri terkejut bila video itu jadi tular. Ramai yang kata ‘bijaknya mereka ini’ dan ada juga yang tanya macam mana mahu berhubung untuk ajar anak mereka.
“Ada juga yang cakap kami cepat jawab sampai ada yang kata otak kami lebih laju daripada yang mereka sangka,” katanya.
Raja Nazrin berkongsi perkara tersebut ketika ditemui dalam majlis pelancaran SPOTLIGHT KL CONVENTION CENTRE bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), baru-baru ini.
Tambah vokalis Sekumpulan Orang Gila ini, kebanyakan komen yang diterima adalah positif yang disifatkannya menceriakan suasana walaupun jumlahnya terlalu banyak untuk dibaca satu persatu.
“Kami baca komen itu memang terhibur. Kadang-kadang cara netizen komen itu sangat kreatif sampai kita sendiri tak sangka. Bila baca, rasa macam hari kita jadi lebih ceria walaupun komen itu beratus malah beribu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Raja Nazrin menjelaskan video tersebut dirakam secara spontan selepas sesi latihan tanpa sebarang skrip dan mereka hanya menjawab soalan seperti biasa ketika ditemu bual.
“Waktu itu, baru lepas sesi semakan bunyi, mereka tanya soalan dan kami jawab secara natural saja. Memang tidak ada perancangan untuk buat video tukar.
“Semua berlaku spontan dan kami sendiri tak jangka ia akan sampai ke tahap ini. Ramai yang sangka kami ini keras, tapi bila tengok video itu mereka terkejut dengan cara kami jawab.
“Pada akhirnya, orang akan menilai daripada apa yang mereka lihat dahulu. Bila dah kenal, mungkin pandangan itu berubah,” katanya.










