TEMERLOH: Tindakan memuat naik status berkaitan kehidupan, kematian dan perpisahan dalam media sosial seolah-olah memberi petanda Rozita Buang ‘pergi’ selama-lamanya selepas maut dalam kemalangan meragut empat nyawa di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) arah Bentong di Bentong, dekat sini, kelmarin.
Selain Rozita, 58, turut terkorban dalam kejadian tersebut adalah suaminya, A. Halim Hasoon, 55; anak perempuan mereka, Norbahyah, 26, dan cucu perempuan, Nayla Afya Aizat yang berusia setahun setelah kenderaan dinaiki empat sekeluarga itu dihempap treler terbalik.
Kakak ipar kepada Allahyarham A. Halim, Mazura Bakar, 50, berkata, dia sebak mengenang perubahan kecil Rozita yang disedarinya sejak satu hingga dua bulan lalu.
Namun, katanya, ketika itu ahli keluarga tidak pernah menyangka perkongsian tersebut membawa makna sangat mendalam.
“Akhir-akhir ini saya perasan dia (Rozita) selalu muat naik kata-kata macam orang nak pergi tinggalkan kita tetapi masa itu kami tidak fikir apa-apa sangat. Tidak sangka apa yang dikongsikan itu rupa-rupanya petanda dia pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini, semalam.
Mazura berkata, kali terakhir dia bertemu keluarga berkenaan adalah pada Hari Raya Aidilfitri lalu ketika mereka pulang ke kampung halaman di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Sementara itu, katanya, A. Halim rapat dengannya dan sering berkongsi pelbagai perkara memandangkan Allahyarham tidak mempunyai adik-beradik perempuan.
“Apa sahaja masalah, dia cerita kepada saya. Bulan lepas dia ada hubungi saya dan memohon maaf sebab tidak dapat pulang menjenguk ahli keluarga yang sakit,” katanya dalam nada sebak.
Menurutnya, berita tragedi itu diterima dalam keadaan tidak disangka selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya mengenai kejadian yang tular di aplikasi TikTok.
“Mula-mula saya memang tak percaya. Saya terus hubungi Hospital Bentong sebelum dimaklumkan semua jenazah dibawa ke Temerloh. Malam itu juga saya terus bertolak dari Kuala Pilah ke sini,” katanya.
Sementara itu, adik ipar Rozita, Suzanna Shafii, 55, yang tinggal berjiran dengan keluarga berkenaan di Felda Mempaga 1, Bentong tidak menyangka pertemuan tengah hari kelmarin sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur menjadi detik terakhir bersama.
Menurutnya, Norbahyah juga dipercayai sedang hamil tiga bulan anak kedua sekali gus menambah kesedihan ahli keluarga mereka.
Terdahulu, empat sekeluarga itu dilaporkan maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk kayu dalam kemalangan di Kilometer 43 KLK.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan selepas dikeluarkan daripada kereta jenis Honda City yang remuk teruk akibat dihempap treler terbabit. – UTUSAN











