PETALING JAYA: Sentimen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terhadap perniagaan di negara ini sedikit sederhana pada separuh pertama 2026 susulan perubahan dalam persekitaran ekonomi semasa.
Walau bagaimanapun, jangkaan operasi PMKS kekal berdaya tahan apabila perniagaan terus memberi tumpuan kepada pendigitalan, peningkatan produktiviti dan pengembangan pasaran bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Tinjauan oleh Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) itu turut mengetengahkan trend, keutamaan dan peluang baharu yang membentuk landskap PMKS di Malaysia.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, sebagai tulang belakang ekonomi negara, PMKS perlu terus memperkukuh daya tahan,
produktiviti dan daya saing bagi menghadapi persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.
“Sehubungan itu, semakin banyak perniagaan memberi penekanan kepada pendigitalan dan
kecekapan operasi, mencerminkan peralihan ke arah pembinaan perusahaan yang lebih
kukuh, mampan dan bersedia menghadapi masa hadapan.
“Selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia, aspek-aspek ini merupakan pemangkin penting dalam memperkukuh daya saing, daya tahan dan sumbangan ekonomi jangka panjang PMKS,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh daya tahan, daya saing dan kemampanan jangka panjang PMKS Malaysia terus menjadi teras mandat pembangunan SME Bank.
Katanya, komitmen ini diterjemahkan melalui penyelesaian pembiayaan dan inisiatif melangkaui pembiayaan yang menyeluruh, termasuk hampir RM2 bilion inisiatif strategik di bawah Belanjawan Negara 2026, ‘SME Bank Relief Programme’.
Tambahnya, ini juga termasuk penyertaan bank dalam ‘SME Stabilisation Relief Facility’ bernilai RM5 bilion yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank berkata, kedudukan aliran tunai PMKS menunjukkan peningkatan, dengan 70 peratus PMKS melaporkan simpanan tunai melebihi enam bulan, walaupun perusahaan mikro masih terdedah kepada kekangan aliran tunai.
Menurutnya, sokongan dasar dan pembiayaan yang bersasar terus memainkan peranan penting dalam membantu perniagaan mengurus kos, mempercepatkan penggunaan
teknologi digital dan memperkukuh kemampanan perniagaan.
“Pendigitalan dan penggunaan teknologi muncul sebagai tunjang utama perniagaan apabila 51 peratus responden menyatakan tumpuan yang lebih besar terhadap pelaburan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
“Pada masa yang sama, akses kepada pembiayaan kekal penting, dengan 51 peratus PMKS mengenal pasti pembiayaan modal kerja sebagai keperluan pembiayaan utama mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua, Pemantauan Makro dan Analitik Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Mazlina Abdul Rahman berkata, tinjauan ini membuktikan PMKS terus memberi tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaan melalui pendigitalan, peningkatan produktiviti dan kepelbagaian pasaran.
“Ini bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran ekonomi serta merebut peluang pertumbuhan yang mampan.
“Seiring dengan perubahan landskap pasaran, banyak perniagaan turut meneroka peluang untuk mempelbagaikan sumber pendapatan serta menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
“Perniagaan berorientasikan eksport terus menunjukkan jangkaan jualan yang lebih positif,
dengan 55 peratus menjangkakan pertumbuhan jualan berbanding 38 peratus bagi syarikat yang memberi tumpuan kepada pasaran domestik,” jelasnya.
Beliau berkata, 61 peratus PMKS berhasrat mengekalkan tenaga kerja sedia ada sambil terus melabur dalam penambahbaikan operasi.
“Trend ini mencerminkan keupayaan PMKS Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan serta komitmen mereka dalam memperkukuh daya saing dan pertumbuhan mampan untuk jangka panjang,” katanya.
Tinjauan yang dijalankan antara Januari hingga April 2026 itu melibatkan penyertaan 1,803
perniagaan daripada 40 sektor di seluruh negara. – UTUSAN










