PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki, 55, tidak lagi perlu bergantung kepada suntikan insulin bagi merawat penyakit kencing manis selepas melakukan pembedahan Bariatrik.
Afdlin berkata kesihatan beliau dikategorikan sebagai bebas kencing manis dan mampu hidup tanpa ubat-ubatan.
“Saya berjaya ‘reversed’ penyakit kencing manis, tak perlu lagi mengambil suntikan insulin.
“Doktor menasihatkan agar tindakan drastik diambil, salah satunya adalah pembedahan bariatrik.
“Tapi selepas membuat pembedahan itu, saya harus tukar cara pemakanan secara menyeluruh.
“Jadi saya ikut saranan doktor. Alhamdulillah sekarang saya tidak perlu bergantung kepada ubat dan suntikan insulin,” katanya.
Afdlin berkata demikian ketika ditemui semasa tayangan filem The Keris, baru-baru ini.
Namun Afdlin mengakui berdepan masalah tekanan darah rendah gara-gara pembedahan tersebut.
“Saya jatuh pitam semasa menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Jalil Hamid baru-baru ini disebabkan tekanan darah rendah.
“Doktor menasihatkan saya agar sentiasa mengingatkan diri untuk makan kerana selepas melakukan pembedahan tersebut, saya sentiasa tidak terasa lapar.
“Jadi saya sedang menyesuaikan diri dengan keadaan,” ujarnya.
Ujar Afdlin, beliau mengalami penurunan berat badan yang banyak semenjak melakukan pembedahan itu.
“Saya hilang 32 kilogram dalam masa tiga bulan dan penurunan itu akan berterusan,” katanya lagi.
Dalam pada itu Afdlin memaklumkan sedang mengadaptasi kehidupan sihat secara berkala dengan melakukan senaman ringan dan menjaga pemakanan.
“Saya disarankan agar berjalanan, kemudian bermain pickle ball dan melakukan senaman angkat berat untuk mendapatkan bentuk badan ideal.
“Doktor menasihatkan agar saya melakukannya secara berkala dengan pengambilan protein untuk membantu penghasilan otot,” ujarnya.-UTUSAN










