Saya kehilangan lelaki paling disayang- Bapa Yana Samsudin meninggal dunia - Utusan Malaysia

Saya kehilangan lelaki paling disayang- Bapa Yana Samsudin meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Yana Samsudin,
berkongsi khabar duka pemergian bapanya, Samsudin Jamuri yang menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu.

Menurut Yana, Allahyarham bapanya meninggal dunia selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital akibat rebah secara tiba-tiba sejurus menunaikan solat Maghrib.

“Arwah telah rebah selepas menunaikan solat Maghrib ketika sedang berzikir sebelum sempat mengakhiri doa pada hari Khamis.

“Selepas menerima rawatan, Allah SWT akhirnya menjemput beliau pulang ke sisi-Nya pada hari ini,” tulisnya menerusi perkongsian di Instagram.

Dalam hantaran yang sama, pelakon Bini-Biniku Gangster mengakui tidak mudah menelan kenyataan kehilangan besar lelaki yang paling dihormati dalam hidupnya.

“Muka saya mungkin kelihatan tenang, tetapi hati saya hanya Allah yang tahu. Abah, terima kasih kerana menjadi ayah yang terbaik buat kami.

“Hari ini, dunia saya kehilangan seorang lelaki yang paling saya sayang. Susuk tubuh lelaki paling awal yang paling saya sayang telah pergi selamanya.

“Semoga kita dipertemukan kembali di syurga, insya-Allah,” luahnya.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Yong Peng, Johor untuk penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Yong Peng yang terletak bersebelahan Lebuhraya PLUS. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN