Sanusi tidak label parti dalam kerajaan negeri - Exco Bersatu

Sanusi tidak label parti dalam kerajaan negeri – Exco Bersatu

HALIMATON SHAADIAH SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kekal menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah mengakui tidak janggal untuk terus memberikan khidmat.

Ia meskipun Pas telah menamatkan kerjasama politik mereka dengan Bersatu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, beliau dan rakan Exco lain terutama dari Pas sudah dianggap seperti keluarga apatah lagi menang pilihan raya di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

“Kami sudah jadi macam satu keluarga, tak ada janggal-janggal, saya tahu bila sudah lama dalam politik ini, kita kena bawa politik yang matang.

“Lagipun, Menteri Besar, (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) bila dalam urusan pentadbiran kerajaan dia tak letak saya atau Datuk Salleh (Saidin) dari parti Bersatu tapi sebagai satu keluarga,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kedah, hari ini.

Bagaimanapun, ADUN Bukit Kayu Hitam itu berkata, beliau tidak pasti bagaimana masa depannya selepas ini kerana perlu akur kepada arahan atau apa jua kehendak pucuk pimpinan Bersatu.

“Buat masa ini, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Naib Presiden Bersatu) maklum kepada saya agar buat kerja macam biasa dan bila hubungi Datuk Razali Idris di Terengganu pun sama kami berkhidmat seperti biasa,” katanya.

Ujarnya, masih banyak perancangan di bawah portfolionya perlu diselesaikan antaranya hala tuju pembangunan wanita Negeri Kedah selain memperkasakan inisiatif-inisiatif yang digariskan sebelum ini.

Semalam, Muhammad Sanusi mengumumkan dua Exco daripada Bersatu kekal memegang jawatan masing-masing dan kerajaan negeri juga masih stabil meskipun terdapat perkembangan terbaharu antara Pas-Bersatu.

Selain Halimaton Shaadiah, Bersatu memiliki seorang lagi Exco iaitu Mohd. Salleh Saidin yang juga ADUN Kubang Rotan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keusahawanan negeri.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani dipecat Bersatu, namun ADUN Suka Menanti itu masih dikekalkan sebagai Exco. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN