KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan lima anggota termasuk ketua balai di Wangsa Maju susulan dakwaan salah laku yang tular di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan itu susulan siasatan yang dijalankan berhubung dakwaan berkenaan.
Beliau berkata, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah diarah untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Buat masa ini, siasatan masih dijalankan bagi memastikan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku, mempunyai asas fakta atau sekadar tohmahan,” katanya dalam sidang akbar selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, di sini, hari ini.
Menurut beliau, semua individu terlibat masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Setakat ini tiada tindakan lanjut diambil kerana siasatan masih berjalan. Sekiranya didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Baru-baru ini tular tangkap layar perbualan di media sosial dari penduduk Wangsa Maju mendakwa seorang ketua balai polis di Wangsa Maju dan anggotanya terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah. – UTUSAN










