KUALA LUMPUR: RT Pastry Holdings Berhad menyasarkan pengumpulan sebanyak RM16.48 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penawaran IPO tersebut ditetapkan pada harga 18 sen sesaham yang dijangka memberi permodalan pemasaran sebanyak RM61.03 juta selepas penyenaraian.
Pengarah Eksekutifnya, Lu Chun-Neng berkata, pelancaran prospektus tersebut adalah langkah semula jadi syarikat yang sentiasa mengutamakan kualiti and ketepatan yang telah memperoleh mereka pengikut setia selama bertahun-tahun.
Menurutnya, dana yang dikumpul akan digunakan untuk mengembangkan jejak peruncitan syarikat ke wilayah baharu serta menaik taraf kemudahan pembuatan berpusatnya.
“Melihat ke hadapan, kami kekal optimistik tentang trajektori semasa dan memberi tumpuan kepada beberapa tonggak pertumbuhan utama untuk memastikan prestasi yang mampan.
“Pada masa sama, ia juga membolehkan kita mempunyai kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi model yang lebih efisien dan berkapasiti besar,” katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini.
“Pertama sekali, kami berhasrat untuk menubuhkan cawangan baharu di Lembah Klang serta pasaran yang belum diterokai di wilayah Selatan dan Pantai Timur.
“Kami juga merancang untuk mengembangkan model borong kami dengan menawarkan perkhidmatan pembuatan OEM yang menghasilkan produk bakeri di kemudahan terpusatnya berdasarkan resipi yang disediakan oleh atau dibangunkan dengan rakan kongsi luar seperti kafe dan peruncit makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi bebas bukan eksekutif RT Pastry, Leou Thiam Lai berkata, syarikat juga sedang meneroka perjanjian jualan borong dan korporat seperti menandatangani perjanjian perkhidmatan pengedaran dengan HWC Distribution.
Menerusi perjanjian itu, RT Pastry menyasarkan untuk menggandakan kadar borong semasa sekitar 2.4 hingga empat atau lima peratus. –UTUSAN










