RM200,000 bina jeti khas nelayan darat di pekan Tenom 

RM200,000 bina jeti khas nelayan darat di pekan Tenom 

Jamawi Jaafar bersama rombongan meninjau tapak cadangan pembinaan jeti khas untuk nelayan darat yang akan dibina di bawah jambatan baharu pekan Tenom. - UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Jeti khas pertama untuk nelayan darat bernilai RM200,000 di Sabah akan dibina di bawah jambatan baharu pekan Tenom untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan sungai di daerah ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kemudahan baharu itu yang reka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Ko-Nelayan bakal menjadi  tarikan pelancongan di Tenom.

“Kemudahan pertama seumpamanya memberi fokus kepada nelayan darat. Kerajaan mahu nelayan darat meningkatkan pendapatan mereka dengan menggunakan jeti itu sebagai tempat mendaratkan hasil tangkapan dengan lebih teratur,” katanya ketika melawat tapak jeti itu di sini hari ini.

Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, masyarakat Tenom juga berpeluang mendapatkan bekalan ikan sungai segar setiap hari apabila jeti itu siap kelak.

Katanya, nelayan akan mengadakan jualan ikan darat atau ikan sungai di situ setiap pagi, yang mungkin tidak berlaku di daerah lain.

Beliau berkata, pembinaan kemudahan itu menjadi tanda sokongan kepada industri perikanan darat.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kerajaan menyumbangkan lapan bot lengkap enjin sangkut dan peralatan menangkap ikan bernilai RM120,000 kepada lapan nelayan darat di daerah ini.

“Antara perkara saya lakukan ialah meningkat dan memberi pengiktirafan kepada nelayan atau penangkap ikan sungai yang selama ini terpinggir,” katanya.

Jamawi berkata, kawasan jeti itu juga dirancang menjadi produk pelancongan baharu apabila projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan siap sepenuhnya.

Katanya, gerai akan dibina di kawasan itu membolehkan orang ramai menikmati suasana petang dan pemandangan matahari terbenam di bawah jambatan baharu Tenom.

“Usaha itu adalah sebahagian inisiatif kerajaan memperbanyakkan tarikan pelancongan dan menyediakan kemudahan baharu kepada masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN