Ringgit diunjur capai 3.97 berbanding dolar AS dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Ringgit diunjur capai 3.97 berbanding dolar AS dalam masa terdekat

RINGGIT dijangka diniagakan antara RM3.97 hingga RM3.99 berbanding dolar AS dalam masa terdekat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak stabil pada paras RM3.97 dalam masa terdekat susulan kebimbangan berterusan terhadap dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang mengimbangi kesan data ekonomi negara itu yang masih kukuh.

Walaupun data sektor pembuatan dan pekerjaan AS menunjukkan ekonomi terbesar dunia itu kekal berdaya tahan, kebimbangan terhadap pendekatan perdagangan yang lebih perlindungan terus menjejaskan sentimen pasaran terhadap dolar AS.

Pada pukul 8 pagi semalam, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9935/0005 berbanding dolar AS sebelum turun sedikit pada 4.0130/0180 pada sesi tengahari. 

Pada pukul 5 petang, ringgit menyusut pada 4.0150/4.0210 sedolar AS.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, pengukuhan ringgit ketika ini didorong oleh sentimen berhati-hati pelabur terhadap dasar perdagangan AS meskipun data ekonomi negara itu masih menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Katanya, kebimbangan terhadap kemungkinan peluasan tarif dan langkah perlindungan perdagangan oleh Washington telah mengurangkan daya tarikan dolar AS dalam kalangan sebahagian pelabur global.

“Pasaran mata wang ketika ini bukan sahaja dipengaruhi oleh prestasi ekonomi AS, malah turut mengambil kira risiko yang timbul daripada ketidaktentuan dasar perdagangan negara tersebut.

“Walaupun ekonomi AS masih menunjukkan daya tahan menerusi data pembuatan dan pekerjaan yang positif, kebimbangan terhadap kesan jangka panjang dasar perdagangan yang lebih agresif telah menyokong pengukuhan mata wang negara membangun termasuk ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas unjuran ringgit minggu ini, beliau berkata, jangkaan mata wang tempatan bergerak stabil pada paras semasa adalah munasabah memandangkan sentimen pasaran masih dipengaruhi oleh perkembangan perdagangan global dan hala tuju dasar monetari AS.

“Buat masa ini, tiada pemangkin besar yang dijangka menyebabkan pergerakan mendadak sama ada kepada ringgit atau dolar AS. 

“Oleh itu, unjuran ringgit kekal stabil dalam julat 3.97 hingga 3.99 adalah rasional selagi pasaran terus menilai keseimbangan antara kekuatan ekonomi AS dan ketidaktentuan dasar perdagangannya.

“Namun, sebarang pengumuman baharu berkaitan tarif atau petunjuk mengenai kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) berpotensi mengubah sentimen pasaran dengan cepat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ringgit turut mencatatkan prestasi memberangsangkan berbanding kebanyakan mata wang utama dunia termasuk pound Britain, euro dan yen Jepun. 

Mata wang tempatan juga mengukuh berbanding dolar Singapura dan rupiah Indonesia, selain kekal stabil berbanding peso Filipina.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak, pengukuhan ringgit ketika ini dipacu oleh gabungan faktor luaran dan domestik. 

“Dari luar, dolar AS sedikit tertekan susulan jangkaan kitaran kenaikan kadar faedah yang hampir berakhir, sekali gus mengurangkan daya tarikannya,” katanya.

Tambahnya, aliran masuk dana ke pasaran pesat membangun termasuk Malaysia turut menyokong mata wang tempatan.

“Dari sudut domestik, asas ekonomi Malaysia yang stabil, inflasi terkawal dan prospek pertumbuhan sederhana positif terus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ringgit,” tambah beliau. 

Mengulas isu perdagangan AS, beliau berkata, ketidaktentuan tarif boleh mencetuskan turun naik jangka pendek, namun kesannya kepada Malaysia dijangka terkawal.

“Malaysia juga berpotensi mendapat manfaat jika berlaku peralihan rantaian bekalan ke rantau ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN