Reka bentuk stesen LRT Laluan Mutiara di peringkat akhir - Kon Yeow

Reka bentuk stesen LRT Laluan Mutiara di peringkat akhir – Kon Yeow

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerja pembinaan dua stesen utama Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang iaitu Stesen Bandar Sri Pinang dan Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kini berjalan lancar dengan kemajuan ketara dicatatkan di kedua-dua tapak berkenaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, orang ramai juga dapat melihat rupa bentuk sebenar stesen-stesen berkenaan dalam masa terdekat selepas reka bentuknya memperoleh kelulusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Katanya, proses kelulusan reka bentuk stesen kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

“Rakyat bakal memperoleh gambaran sebenar rupa bentuk stesen-stesen LRT Laluan Mutiara tidak lama lagi apabila kelulusan reka bentuk diperoleh,” katanya selepas meninjau kemajuan pembinaan projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang dan LTAPP di sini hari ini.

Beliau berkata, pembinaan di tapak LTAPP kini memberi tumpuan kepada kerja pembinaan tiang jejambat dan struktur jejambat dengan lima tiang jejambat telah siap dibentuk setakat ini.

Katanya, kemajuan di Stesen Bandar Sri Pinang pula berada pada tahap lebih maju apabila kerja asas dan pembinaan kolum stesen telah disiapkan.

“Bagi Stesen Bandar Sri Pinang pula, projek kini bakal memasuki fasa pembinaan struktur utama stesen dengan komponen crosshead dijangka tiba di tapak dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, stesen tersebut mempunyai kedudukan strategik kerana terletak di kawasan pembangunan pesisir pantai yang padat dengan kediaman bertingkat tinggi serta berhampiran Persiaran Karpal Singh yang menjadi pusat aktiviti komersial dan gaya hidup.

Stesen berkenaan turut dilengkapi akses keluar masuk di kedua-dua belah Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu bagi menghubungkan kawasan kediaman dan pusat ekonomi sekitar.

Stesen LTAPP yang bakal dihubungkan dengan terminal baharu lapangan terbang menerusi jambatan penghubung akan berfungsi sebagai pintu masuk antarabangsa penting ke Pulau Pinang.

Ia akan menyediakan sambungan terus ke beberapa lokasi utama termasuk Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas, Komtar dan Penang Sentral di Butterworth.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang ramai perlu bersedia menghadapi kesesakan dan gangguan trafik sementara apabila projek memasuki fasa pembinaan yang lebih aktif pada separuh kedua tahun ini. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN