PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) yakin tiada sebarang pertindihan kerusi dalam kalangan parti komponennya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan nanti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, buat masa ini, proses agihan kerusi berjalan lancar dan tidak timbul sebarang isu mengenainya kerana BN menyelesaikan perkara itu menerusi semangat musyawarah dan perbincangan.
“Ketika ini, kami hanya perlu memperkukuhkan lagi dari segi calon dan pada dasarnya tidak ada masalah yang besar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Syarahan Umum oleh Pengarah Centre on Contemporary China and the World (CCCW) di Universiti Hong Kong (HKU), Profesor Li Cheng di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persiapan BN bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan termasuk proses agihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya tidak menjangkakan berlaku pertindihan memandangkan perbincangan awal telah dilakukan.
“Kita tidak akan ada pertindihan. Dari segi amalan kami di peringkat Barisan Nasional, walaupun di peringkat awal mungkin ada calon ini tempat itu, calon itu mahu tempat ini tetapi akhirnya itulah semangat BN.
“Akhirnya kami (parti komponen) akan duduk bersama, kami membuat keputusan bersama meletakkan calon-calon itu pada kerusi-kerusi yang dipersetujui bersama,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Johor dan Negeri Sembilan selepas kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) itu telah dibuabarkan. – UTUSAN










