KOTA TINGGI: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu menjadi medan demokrasi sihat, matang dan penuh rasa hormat tanpa menyentuh isu kaum, agama dan institusi raja (3R).
Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Dr. N. Sathia Prakash berkata, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk mencetuskan permusuhan atau menghakis nilai kesopanan dalam berpolitik.
Malah katanya, ia penting bagi menjaga keharmonian dalam tempoh berkempen sempena PRN Johor.
“Kepada semua calon dan jentera kempen, berpolitik secara profesional. Kempen pilihan raya seharusnya berteraskan fakta, dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya dipenuhi dengan fitnah, kebencian atau provokasi yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.
“Undang-undang dan semangat demokrasi yang menjadi tunjang negara perlu dihormati oleh semua pihak, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sathia berkata, Rakyat Johor perlu menilai rekod, prestasi, dasar dan kemampuan setiap calon serta parti secara matang.
“Rakyat Johor dalam masa yang sama perlu pertimbangkan juga bagaimana kerjasama yang baik antara kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerajaan negeri mampu membawa lebih banyak pembangunan, pelaburan, peluang pekerjaan serta manfaat kepada rakyat Johor.
“Jangan mudah terperangkap dengan politik yang memainkan sentimen agama atau menyebarkan ketakutan. Agama adalah asas yang sangat penting dalam kehidupan, namun ia tidak seharusnya disalahgunakan sebagai alat untuk memecah-belahkan masyarakat atau mengaburkan pertimbangan rakyat ketika membuat pilihan,” ujarnya. – UTUSAN










