PRN: Hormati peraturan berkempen- PM

PRN: Hormati peraturan berkempen- PM

ANWAR Ibrahim bersama pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/HAFIZ SAIDINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta menghormati proses demokrasi semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 di Johor dan Negeri Sembilan agar ia berlangsung secara beretika.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SPR telah mengumumkan proses pilihan raya susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Sekarang, bila dah mula kempen, saya harap dapat dijaga dan SPR harus dalam tanggungjawab dengan baik, bebas dan supaya dapat menjamin perjalanan Pilihan Raya, Negeri Johor dan Negeri Sembilan berikutnya dengan begitu baik

“Jadi kita harap rakan-rakan, sempat saya berbicara dengan kawan-kawan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri supaya menjaga peraturan dan menghormati etika kempen,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul Pasar, di sini hari ini.

SPR menetapkan tarikh pengundian bagi PRN Ke-16 di Johor dan Negeri Sembilan dijalankan secara berasingan pada 11 Julai dan 1 Ogos depan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun menerusi menerusi sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16 dan Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16.

Beliau berkata, hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun, manakala hari pengundian awal pada 7 Julai.

Menurutnya, bagi PRN Negeri Sembilan pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.

Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Sementara itu, DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran sehari sebelum itu – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN