PETALING JAYA: Sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang beroperasi di sebuah unit kediaman mewah di Wangsa Maju dekat sini, tumpas selepas polis menahan 10 lelaki dalam serbuan hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, sembilan lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam unit kediaman di tingkat 17 sebuah residensi yang dijadikan pusat panggilan sindiket.
Katanya, pemeriksaan menemukan beberapa komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tukaran mata wang asing (Forex).
“Siasatan awal mendapati kesemua sembilan suspek warga China yang berusia lingkungan 30-an menyasarkan mangsa di negara asal mereka melalui tawaran pelaburan palsu, manakala seorang warga tempatan dipercayai membantu membekalkan keperluan harian kepada suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Serbuan dilakukan pasukan khas KL Police Strike Force, Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi itu hasil maklumat awam dan risikan dijalankan di kawasan berkenaan.
Fadil berkata, sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak awal Mei lalu.
Katanya, siasatan kini tertumpu kepada usaha mengesan pemilik kediaman, ejen dan dalang yang menguruskan kemasukan warga asing terbabit ke negara ini.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis KL di talian 03-21159999 atau datang ke balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN










