PETALING JAYA: Polis sedang mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berjaya lolos dalam insiden kejar-mengejar di Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.16 pagi itu, anggota polis Balai Polis Pandan Indah yang sedang menjalankan rondaan mengesan kenderaan berkenaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, sepasukan anggota motosikal dari Balai Polis Cheras yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah turut mengekori kenderaan tersebut.
“Ia dipercayai melarikan diri dari sekatan pemeriksaan di Bulatan Billion melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Susulan itu, beberapa kenderaan peronda (MPV) dari Balai Polis Pandan Indah turut digerakkan bagi membantu operasi mengejar suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, kenderaan berkenaan berjaya meloloskan diri selepas pemandunya membuat pusingan U secara berbahaya di atas pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan hilang dari pandangan polis.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan kenderaan dan individu yang terlibat,” jelasnya. – UTUSAN









