PETALING JAYA: PMW International Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, PMW Marketing Sdn. Bhd. (PMSB) memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM11.84 juta bagi membekal dan menghantar tiang konkrit berputar prategasan untuk Projek Infrastruktur dan Hab Gentian Optik Point of Presence Fasa 2 (POP2).
PMW International berkata, PMSB memeterai perjanjian bekalan dan penghantaran dengan Global Technological Support Sdn. Bhd. (GTS) yang berkuat kuasa sehingga 31 Oktober 2026 melibatkan pembekalan dan penghantaran tiang konkrit pintal pra-tegasan untuk kerja-kerja infrastruktur di bawah Projek POP2.
Projek POP2 merupakan inisiatif nasional yang bertujuan memperluaskan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi negara menerusi pembangunan rangkaian gentian optik, selaras dengan aspirasi Kerangka Digital Malaysia 2030.
Di bawah pelan itu, kerajaan menyasarkan akses internet 100 peratus di kawasan berpenduduk, liputan 5G sebanyak 95 peratus serta pembangunan infrastruktur digital yang menyokong teknologi kecerdasan buatan (AI) dan awan berdaulat tempatan.
Projek berkenaan disokong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Digital dengan peruntukan kira-kira RM3.9 bilion bagi pembinaan 3,693 Point of Presence (POP) di seluruh negara.
PMW berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Katanya, iajuga merupakan kesinambungan kepada Fasa 1 projek yang sebelum ini melibatkan pembangunan POP di Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif PMW International, Lee Hon Hwa berkata, kontrak tersebut mengukuhkan penglibatan syarikat dalam pembangunan ekosistem telekomunikasi dan infrastruktur digital negara.
“Ketika Malaysia terus memperluaskan rangkaian jalur lebar dan kesalinghubungan digital, kami berbesar hati dapat menyumbang melalui pembekalan produk infrastruktur yang menyokong pembangunan rangkaian gentian optik serta inisiatif sambungan terakhir kepada pengguna.
“Kami turut berbesar hati memperoleh kontrak ini tidak lama selepas menerima pesanan bekalan cerucuk konkrit berputar bernilai RM11.92 juta daripada SL Virtue Sdn. Bhd. yang diumumkan pada Mei lalu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kejayaan memperoleh kontrak secara berturut-turut dalam sektor telekomunikasi dan pengangkutan mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap kualiti produk, keupayaan operasi serta rekod prestasi penghantaran PMW.
Ujarnya, kontrak itu turut memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian infrastruktur yang terlibat dalam pelbagai sektor termasuk utiliti, telekomunikasi, pengangkutan dan infrastruktur asas.
“Kumpulan kekal optimistik terhadap prospek sektor infrastruktur negara yang disokong oleh pelaburan berterusan dalam pembangunan utiliti, telekomunikasi dan infrastruktur digital.
“Program peluasan jalur lebar, pembangunan rangkaian gentian optik serta projek kesalinghubungan digital nasional seperti POP2 dijangka terus menyokong permintaan terhadap produk infrastruktur telekomunikasi dan penyelesaian berkaitan pada masa hadapan,” jelasnya. –UTUSAN










