PM pelawa syarikat teknologi Jepun melabur ke Malaysia

PM pelawa syarikat teknologi Jepun melabur ke Malaysia

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat teknologi terkemuka di Jepun dipelawa untuk memperluaskan pelaburannya ke Malaysia bagi memperkukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab teknologi serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini sedang memasuki fasa baharu dalam pembangunan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada industri berimpak tinggi termasuklah kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pengkomputeran awan dan teknologi kuantum.

“Kita sudah menjadi hab semikonduktor di rantau ini dan sektor ini berkembang dengan amat pesat. Kita telah menyaksikan eksport daripada elektrik dan elektronik (E&E) yang sangat besar nilainya dan saya percaya ramai dalam kalangan anda, mungkin tujuh atau lapan syarikat, turut terbabit dalam bidang pengkomputeran kripto.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kerana ini adalah bidang baharu yang sedang berkembang, termasuk digital, kecerdasan buatan (AI) dan kripto. Semua ini adalah sektor baharu yang perlu diberi perhatian, di samping bidang tradisional yang terus kita kekalkan dan bangunkan,” katanya sebelum Mesyuarat Meja Bulat bersama 29 tokoh perniagaan dan pemimpin industri di Tokyo, Jepun, hari ini.

Perbincangan disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berharap dapat memanfaatkan pengalaman serta kepakaran Jepun dalam bidang teknologi moden serta penyelidikan bagi menyokong usaha tersebut.

“Keutamaan baharu kami selain sektor E&E, ialah semikonduktor serta teknologi kuantum yang juga perlu kita manfaatkan melalui pengalaman dan kepakaran Jepun.

“Namun, di luar bidang itu, seperti yang ramai antara anda sedia maklum, kerjasama dan pembabitan bersama dengan pusat penyelidikan serta universiti juga semakin kukuh.

“Saya baru sahaja menghadiri sesi di Universiti Tokyo dan mengadakan pertukaran pandangan yang amat baik bersama profesor, penyelidik serta pelajar,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama enam syarikat utama Jepun iaitu IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation.

Pertemuan itu memberi tumpuan kepada potensi pelaburan dan perdagangan dalam sektor strategik termasuk tenaga, industri halal, AI serta teknologi perkomputeran termaju. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN