JOHOR BAHRU: Walaupun merupakan calon tertua daripada keseluruhan 172 calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Lim Chin Eng tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk mendekati pengundi khususnya golongan muda.
Menurut Chin Eng, 73, yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, pengalaman politik yang dimilikinya merupakan kelebihan berbanding calon lain.
“Saya tahu majoriti pengundi DUN Stulang terdiri daripada golongan muda. Strategi saya adalah untuk turun ke bawah dengar suara pengundi dan adakan sesi dialog terbuka bagi membolehkan komunikasi dua hala.
“Saya mahu jadi wakil rakyat yang sentiasa mendengar dan bekerja bersama generasi muda, saya sedar tidak tahu semua perkara, jadi saya perlu dengar suara mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, gabungan antara pengalaman dan kreativiti merupakan kombinasi terbaik dalam membangunkan Stulang menjadi sebuah kawasan maju di negeri ini.
“Saya mahu bina jambatan perhubungan antara pengalaman dan idea individu berusia dengan kesihatan, kecergasan dan juga kreativiti anak muda, itu gabungan terbaik untuk memajukan sesebuah kawasan.
“Medan pilihan raya bukan pertandingan usia, siapa lebih muda atau siapa lebih tua, tetapi sebaliknya ia adalah siapa wakil rakyat yang boleh bekerja dan membawa perubahan positif dikawasan mereka,” katanya.
Katanya, dia menyertai pilihan raya bukan untuk mengejar jawatan sebaliknya kerana mahu kembali menyumbang kepada masyarakat.
“Saya pilih bertanding sekarang kerana ini masa terbaik untuk gunakan pengalaman dan idea yang ada, saya tidak kejar jawatan cuma mahu selesaikan masalah rakyat setempat,” katanya.-UTUSAN










