SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mewakili PH berkata, PH pernah memenangi kerusi DUN sebanyak itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan ia tidak mustahil untuk dicapai pada PRN kali ini.
Anthony Loke berkata, jentera pilihan raya PH Negeri Sembilan dijadualkan akan dilancarkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.
“Setiausaha DAP negeri, Cha Kee Chin juga telah diamanahkan sebagai Pengarah Pilihan Raya DAP Negeri Sembilan bagi menyelaras gerak kerja kempen parti menjelang PRN nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Anthony Loke juga mengesahkan beliau akan kekal bertanding dalam PRN Negeri Sembilan Ke-16 akan datang dan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
Katanya, keputusan itu setelah mendapat sokongan kepemimpinan parti itu di peringkat negeri sekali gus membolehkannya terus mengetuai DAP dalam menghadapi pilihan raya itu.
“Saya telah membuat keputusan dan mendapat sokongan daripada setiausaha serta jawatankuasa negeri untuk terus mengetuai kempen pilihan raya ini dengan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan kali ini. Saya tetap akan bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini,” katanya.
Menurut Anthony Loke, DAP Negeri Sembilan menyasarkan untuk mempertahankan kesemua 11 kerusi yang dimenangi parti itu selain membantu rakan komponen PH memperoleh kemenangan di kerusi lain. – UTUSAN










