TAMPARULI: Sektor pertanian organik berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi penghasilan produk makanan berkualiti tinggi, pembukaan peluang pekerjaan serta pengembangan pasaran ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mega Agriculture Technology Sdn. Bhd. (MATSB), Aster Lee berkata, pertanian organik bukan sahaja menghasilkan makanan sihat dan selamat untuk pengguna, malah mampu menjana ekonomi tempatan menerusi kegiatan pengeluaran, pemasaran dan pengedaran hasil pertanian secara berterusan.
“Pertanian organik mempunyai nilai ekonomi yang besar kerana permintaan terhadap produk makanan sihat terus meningkat.
“Pada masa sama, industri itu turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan merancakkan ekonomi luar bandar.
“Apabila sesebuah ladang berkembang, kesannya bukan sahaja dirasai syarikat, sebaliknya turut memberi manfaat kepada komuniti sekitar menerusi peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran serta peningkatan pendapatan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima lawatan kerja Ahli Parlimen Tuaran merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bersama rombongan ke ladang MATSB di Kampung Topokon, di sini hari ini.
Beliau berkata, MATSB yang dimiliki syarikat Taiwan, Dar Sheng Agricultural Co. Ltd., mula beroperasi di Sabah sejak 2012, kini muncul antara pengeluar utama sayur-sayuran dan buah-buahan organik di negeri ini.
Katanya, syarikat itu mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran serta beberapa jenis buah-buahan yang ditanam menggunakan teknologi pertanian organik moden dari Taiwan.
“Hasil pertanian yang kami keluarkan bukan sahaja memenuhi keperluan pasaran di Sabah, malah turut diedarkan ke pasar raya Semenanjung, Sarawak dan Brunei. Ini membuktikan produk pertanian organik yang dihasilkan di Sabah mampu bersaing dan mendapat tempat di pasaran yang lebih luas,” katanya.
Aster berkata, permintaan yang semakin meningkat terhadap produk organik memberi peluang besar kepada Sabah untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab pengeluaran makanan berkualiti tinggi di rantau ini.
Katanya, ketika ini, MATSB mengendalikan sebanyak 58 rumah hijau dilengkapi teknologi pertanian moden bagi memastikan hasil tanaman yang konsisten, berkualiti dan bebas daripada penggunaan racun perosak.
“Selain itu, syarikat berkenaan turut mempunyai 22 pekerja tetap tempatan dari kawasan Topokon, Tamparuli, Wongkod dan kampung-kampung berhampiran, sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN










