Perobohan gerai depan UTC Sentul bagi laluan pembangunan semula 

Perobohan gerai depan UTC Sentul bagi laluan pembangunan semula 

HANNAH Yeoh dan Fadlun Mak Ujum ketika meninjau kawasan pembangunan semula kawasan penjaja di Jalan 3/48A, UTC Sentul di ibu negara, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perobohan struktur penjaja di Jalan 3/48A berhadapan UTC Sentul yang tular di media sosial baru-baru ini merupakan sebahagian daripada proses pembangunan semula kawasan itu dan bukannya bertujuan menamatkan aktiviti perniagaan penjaja.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, projek tersebut dilaksanakan menerusi Program Lestari Niaga yang bertujuan meningkatkan kualiti kemudahan penjaja bandar serta menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif. 

Menurutnya, kawasan penjaja berkenaan telah wujud hampir 30 tahun dan 20 penjaja dikenal pasti masih aktif menjalankan perniagaan.

“DBKL ingin menegaskan bahawa proses ini bukan berlaku secara tergesa-gesa kerana perancangan telah bermula sejak tahun lalu lagi.

“Beberapa siri perbincangan dan sesi libat urus bersama penjaja serta pihak berkepentingan turut diadakan, dengan sesi terakhir berlangsung pada 10 Februari lalu. 

“Bantuan khas sebanyak RM1,500 setiap bulan turut diberikan kepada setiap penjaja yang terlibat sepanjang tempoh pembangunan semula tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan pembangunan itu di UTC Sentul, hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan perobohan gerai-gerai di hadapan UTC Sentul yang didakwa telah ditindas oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Fadlun berkata, pada peringkat awal, beberapa pilihan termasuk penempatan di lokasi alternatif telah diteliti bagi memastikan kebajikan penjaja terpelihara sepanjang tempoh pembangunan semula dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, selepas mengambil kira pandangan penjaja, faktor lokasi, akses pelanggan serta keperluan komuniti setempat, DBKL memutuskan untuk membangunkan semula kemudahan penjaja di kawasan yang sama.

“Kerja-kerja perobohan struktur sedia ada merupakan langkah yang perlu bagi membolehkan pembinaan semula kemudahan yang lebih selamat, tersusun dan memenuhi keperluan semua pihak.

“Melalui projek ini, sebanyak 20 unit gerai baharu akan dibina lengkap dengan kemudahan yang lebih selesa untuk penjaja dan pelanggan.

“Kemudahan yang disediakan juga termasuk bekalan air dan elektrik, ruang makan berbumbung, tempat mencuci tangan, kemudahan pengurusan sisa dan sistem saliran,” katanya.

Dalam pada itu, Fadlun berkata, Program Lestari Niaga akan melibatkan lebih 11,000 penjaja di 287 lokasi di sekitar ibu negara. 

Katanya, pembangunan semula itu dijalankan secara berperingkat dengan beberapa lokasi lain dikenal pasti antaranya di Jalan Dato Senu dan Pudu Hulu, Bandar Tun Razak.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan program itu dan peruntukan ini akan digunakan sepenuhnya untuk menyiapkan projek-projek yang dirancang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN