Perketat khidmat malim gunung mahir kendali pendakian berisiko  

Perketat khidmat malim gunung mahir kendali pendakian berisiko  

MUZAFAR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penguatkuasaan penggunaan khidmat malim gunung yang mahir dan berpengalaman dengan laluan pendakian perlu dilaksana bagi memastikan hanya individu berkelayakan dibenarkan membawa pendaki.

Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad berkata, malim gunung yang kurang berpengalaman berdepan risiko tinggi untuk melakukan kesilapan terutama ketika membawa pendaki melalui laluan ekstrem seperti Gunung Batu Putih.

Katanya, peranan malim gunung bukan hanya sebagai penunjuk arah, malah mereka memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan pendaki sepanjang berada di laluan pendakian.

“Di Perak, kita ada lebih 320 Malim Gunung Perhutanan (MGP) tetapi bukan semua dalam kalangan mereka mahir terutama melibatkan tujuh laluan pendakian berisiko di negeri ini.

“Risiko akan muncul jika pendaki mendapatkan khidmat malim yang tidak mahir dan hanya berpandukan kepada aplikasi dan gadget dalam tugasannya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut beliau, ketika ini kebanyakan laluan pendakian boleh dimuat turun menerusi pelbagai aplikasi navigasi yang tersedia namun teknologi itu tidak boleh dijadikan panduan sepenuhnya.

Katanya, kepakaran dan pengetahuan mengenai selok-belok kawasan adalah jauh lebih penting bagi membolehkan tindakan yang tepat dan pantas diambil.

“Malim dan pendaki perlu mahir tentang selok-belok kawasan, jika berlaku kecemasan seperti sesat atau bencana alam, ia boleh bantu mereka buat keputusan yang tepat,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah memanggil wakil-wakil MGP Perak untuk hadir ke sesi perbincangan bagi penambaikan dan pengemaskinian dokumen prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti pendakian di negeri ini, semalam.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah membabitkan isu penguatkuasaan baharu ke atas tujuh laluan pendakian berisiko seperti dalam laporan media pada 5 Jun lalu,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Perhutanan Negeri Perak menguatkuasakan larangan serta-merta aktiviti pendakian secara ‘dayhike’ atau ‘compressed hike’ di tujuh laluan pendakian berisiko di negeri ini.

Laluan terlibat ialah Gunung Korga menerusi laluan Gunung Korbu-Gunung Gayong, Trans Spencer Chapman (Gunung Bar Gading-Gunung Kak-Gunung Batu Putih), Trans Jerging (Gunung Suku-Gunung Irau), Trans Batu (Gunung Batu Putih-Gunung Batu Bujang-Gunung Kak-Gunung Batu Dara).

Selain itu, laluan lain. ialah Trans Slim (Gunung Liang East/West-Gunung Chondong Geliting-Gunung Tumang Batak), Trans Titiwangsa V1 (Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar) dan Trans Beratih (Bukit Berapit, Gunung Rayu dan Gunung Batu Putih). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×