Pendaki dinasihat tidak mendaki bersendirian

Pendaki dinasihat tidak mendaki bersendirian

MUZAFAR Mohamad (kanan) bersama beberapa malim gunung yang menyertai operasi mencari pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih di Tapah semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pendaki dinasihat tidak melakukan aktiviti pendakian secara bersendirian, sebaliknya perlu mempunyai rakan pasangan atau ‘buddy’.

Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad berkata, ini kerana jika berlaku kecemasan, bantuan segera dapat diberikan oleh rakan sementara menunggu bantuan daripada pasukan keselamatan.

“Secara asasnya dalam rekreasi mendaki ini perlu ada teman. Saya pesan berulang kali tolong pastikan ‘buddy sistem’, sebab jika apa-apa terjadi, bantuan paling hampir dengan kita adalah orang di sebelah kita, bantuan luar lewat sampai.

“Sebab itu kita melarang individu bergerak berseorangan. Realiti dalam ekspedisi hutan ia dilakukan secara ‘compress’, pendaki akan bergerak secara berasingan dan ini akan menyebabkan risiko kejadian pendaki hilang dan sesat adalah tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, mengenai malim gunung antara kumpulan yang terlibat dalam mencari pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Ahad lalu, Muzafar berkata, pada masa cuti umum ketika ini, ramai malim gunung yang menyertai operasi pencarian.

Namun, tambahnya, apabila mereka kembali sibuk, masa itu mungkin semakin kurang jumlah malim gunung yang dapat meluangkan masa untuk membantu pencarian.

Katanya, untuk hari ini sahaja dianggarkan 25 orang malim gunung terlibat dalam operasi bersama pasukan mencari dan penyelamat.

“Sudah lebih seminggu usaha pencarian dijalankan dan ramai malim gunung yang sudah turun padang membantu pencarian, ramai yang tolak ‘job’ masing-masing semata-mata untuk ke sini. Mereka berkorban masa dan duit untuk bantu mencari.

“Namun sampai satu tahap, kami malim gunung kerana berusaha untuk mencari rezeki masing masing,” katanya.

Selepas lebih seminggu, usaha pencarian belum menemukan Jaslinda setakat ini.

Kelmarin, penelitian pasukan penyelamat terhadap cip kamera pengawasan di sekitar lokasi laluan pendakian Gunung Batu Putih bagi memantau pergerakan Jaslinda mendapati wanita itu dipercayai bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jaslinda didapati melintasi kamera 1 sekitar 11.22 pagi 24 Mei (Ahad) iaitu hari pertama kehilangannya, dengan tiada rakaman menunjukkan wanita itu berpatah balik melintasi kamera berkenaan.

Katanya, justeru rakaman itu dapat menyokong hujah bahawa mangsa sememangnya bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka seperti mana penemuan jejak tapak kasut dan botol air sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×