Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kini melaksanakan prosedur Perentak Jantung Tanpa Wayar (Leadless Pacemaker) iaitu teknologi canggih yang berfungsi menghantar impuls elektrik bagi memastikan degupan jantung kekal normal, khususnya untuk pesakit bradycardia (degupan jantung perlahan).
Berbeza dengan kaedah konvensional yang memerlukan pembedahan poket bawah kulit dan penyaluran wayar ke dalam jantung, inovasi tanpa wayar ini menawarkan alternatif lebih selamat dengan risiko komplikasi yang minima.
Prosedur sulung itu dijalankan ke atas dua pesakit wanita yang menghidap sick sinus syndrome iaitu ritma jantung yang perlahan (bradycardia) atau terlalu pantas (tachycardia) atau kedua-duanya.
Keadaan ini boleh menyebabkan pesakit sering pengsan atau pitam, pening dan keletihan.
Pakar Kardiologi, Elektrofisiologi dan Perubatan Dalaman, Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr. Mohd. Asyiq Al-Fard Mohd. Raffali berkata, HCTM adalah hospital pengajar kedua yang menjalankan prosedur ini, kelima di Malaysia dan pertama di Lembah Klang.

“Perbezaan antara pacemaker baharu ini dengan yang lama adalah ia tidak menggunakan wayar. Didatangkan dengan dua kapsul kecil bersaiz 3.8 sentimeter, ia diletakkan terus di ruang atas atau chambers di dalam jantung. Ini bermakna tiada pacemaker yang diletakkan di bawah kulit dada seperti pacemaker lama dan menjadikan pesakit lebih selesa. Pesakit juga tidak perlu risau dengan risiko terkena jangkitan seperti yang berlaku dengan penggunaan pacemaker lama,”katanya.
Dr. Mohd. Asyiq Al-Fard yang ditemui selepas menjalankan prosedur pembedahan bagi memasukkan dua pacemaker ke atas pesakit pertama iaitu seorang wanita berusia 64 tahun yang mengambil masa sejam.
Katanya, pesakit berkenaan mengalami kanser payudara dan pernah menjalani kemoterapi. Kesannya, banyak urat-urat di bahagian berkenaan mengecut kesan rawatan berkenaan.
“Bagi pesakit ini, sekiranya diletakkan bateri (pacemaker) dan wayar, mungkin prosedur ini akan menjadi lebih rumit. Selain itu, dalam jangka masa lama urat boleh tersumbat sepenuhnya. Jadi, kaedah dual pacemaker ini adalah yang terbaik untuknya.
“Pesakit kedua pula adalah seorang nenek yang aktif menjaga cucu dan memasak. Sekiranya menggunakan pacemaker lama, ia akan mengganggu pergerakannya. Jadi, bila kita letak pacemaker ke dalam jantung, lebih selesa untuknya,” katanya.
Dual pacemaker sesuai digunakan oleh pesakit dengan keperluan tertentu seperti pesakit kanser dan pesakit yang menjalani dialisis kerana pacemaker terletak di dalam jantung berbanding pacemaker konvensional boleh mengganggu keselesaan mereka dalam menjalankan aktiviti harian. Selain itu, ia juga sesuai untuk penghidap demensia atau nyanyuk.
Dr. Mohd. Asyiq Al-Fard berkata, jangka hayat pacemaker ini juga lebih lama berbanding pacemaker konvensional sebelum ini iaitu sekitar 10 hingga 15 tahun.
“Ia dimasukkan melalui pembuluh darah pada pangkal paha kaki terus ke jantung menggunakan kateter yang fleksibel. Satu unit ditempatkan di serambi kanan dan satu unit lagi di bilik kanan.
Kedua alat ini akan berkomunikasi antara satu sama lain untuk mengatur detak jantung.
“Proses implan ini juga lebih singkat berbanding implan lama. Proses pemulihan pesakit juga lebih cepat iaitu sekitar dua hari. Bagaimanapun pada hari pertama hingga kedua, pesakit perlu menjaga jahitan pada paha selepas pembedahan,” katanya.
Katanya lagi, pesakit juga perlu membuat rawatan susulan untuk memeriksa penetapan perimeter dan daripada data syarikat pengeluar, kadar penerimaan adalah tinggi iaitu 90 peratus dan jarang berlaku penolakan dengan risiko sangat rendah.
PUNCA DAN GEJALA
Punca berlaku ritma jantung perlahan disebabkan pemacu semula jadi jantung, Nodus Sinoatrial (SA) mengalami kerosakan, seterusnya gagal menghantar impuls elektrik secara sempurna.
Faktor kerosakan boleh berlaku disebabkan faktor penuaan atau fibrosis pada tisu jantung yang biasanya berlaku dalam kalangan individu berusia lebih 50 tahun.
Degupan jantung

Jenis Utama AritmiaTakikardia: Degupan jantung terlalu laju (melebihi 100 bpm) semasa rehat.
Bradykardia: Degupan jantung terlalu perlahan (kurang daripada 60 bpm)
Fibrilasi / Degupan Tidak Sekata: Rentak jantung bercelaru atau diselangi dengan degupan tambahan
Gejala yang dialami pesakit ritma atau rentak jantung perlahan atau terlalu pantas biasanya pening, gelap mata, pitam dan keletihan yang tidak dapat dijelaskan. Pesakit turut mengalami kekeliruan selain merasa rentak jantung luar biasa. Selain itu, pesakit mengalami sesak nafas dan sakit dada. Semua gejala ini boleh berulang beberapa kali.
KERAP PENING, PITAM
Sementara itu pesakit kedua, Adabiah Darus, 68, berkata dia sering mengalami pening kepala sejak enam bulan lalu. Selain itu, dia turut mengalami gelap mata dan pitam yang berlaku berulang-ulang.
“Sakit kepala seperti pening, gelap mata dan pitam berlaku tidak mengira masa. Pada masa sama, saya masih membuat kerja macam biasa iaitu berniaga bihun sup utara di pasar malam di Kuala Lumpur.
“Bagi mengenalpasti masalah sebenar, saya buat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan berhampiran dan mendapati, tekanan darah tinggi meningkat.
“Saya juga menjalani ujian Elektrokardiogram (ECG) dan didapati keadaan jantung saya tidak begitu baik. Tiga kali ECG dijalankan untuk pastikan keadaan jantung saya tetapi keputusan tetap sama.
“Selama ini, saya tidak rasa sakit dada atau berpeluh seperti suami yang juga pesakit jantung. Mei lalu saya disahkan mengalami masalah rentak jantung perlahan atau bradycardia dan terus ke
HCTM untuk rawatan,” katanya yang juga pesara kerajaan.
Adabiah yang ditemui di bilik menunggu sebelum menjalani pembedahan pada hari berkenaan berkata, dia reda dan bersedia mental dan fizikal apabila doktor mencadangkannya menggunakan dual pacemaker di mana terdapat dua bateri akan dimasukkan ke dalam jantungnya menerusi pembedahan berkenaan.-UTUSAN









