BOSTON: Penyokong England meluahkan perasaan mereka terhadap pemain tengah Ghana, Thomas Partey apabila mereka mengejek setiap kali pemain itu menyentuh bola.
Terdahulu, pertahanan England, Djed Spence, dilihat enggan berjabat tangan dengannya sebelum perlawanan kedua Kumpulan L berlangsung awal pagi tadi.
Penyertaan Partey di Piala Dunia 2026 menjadi perhatian selepas bekas pemain Arsenal itu berdepan tujuh pertuduhan rogol dan dua pertuduhan serangan seksual di Britain.
Namun pemain itu menafikan dakwaan terbabit.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan Spence yang juga pertahanan Tottenham Hotspur seolah-olah tidak menyambut huluran tangan Partey ketika sesi perkenalan pemain selepas lagu kebangsaan dimainkan.
Partey yang terlepas aksi pembukaan Ghana menentang Panama selepas Kanada menolak permohonan visanya kemudian diejek setiap kali menerima bola sepanjang perlawanan.
Sebelum ini, Partey yang beraksi bersama Villarreal berkata, beliau berasa ‘baik’ dan ‘bersedia untuk beraksi’ di Piala Duia 2026.
Beliau sebelum ini pernah menjadi rakan sepasukan pemain England, Declan Rice dan Bukayo Saka, ketika bersama Arsenal.- AGENSI










