Penyeragaman undang-undang perkukuh profesion guaman syarie

Penyeragaman undang-undang perkukuh profesion guaman syarie

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyeragaman penerimaan masuk Peguam Syarie dilihat sebagai langkah penting bagi memperkukuh profesion guaman syarie tanpa menjejaskan autonomi negeri dalam hal ehwal agama Islam.

Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, profesion Peguam Syarie merupakan institusi penting dalam sistem pentadbiran keadilan Islam di Malaysia kerana berperanan sebagai officer of the court yang membantu Mahkamah Syariah menegakkan keadilan.

Menurut beliau, penyeragaman boleh dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri walaupun soal berkaitan pentadbiran Islam dan Mahkamah Syariah terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Namun demikian, hakikat bahawa perkara ini berada di bawah bidang kuasa negeri tidak bermaksud penyeragaman adalah mustahil. Apa yang tidak dibenarkan oleh Perlembagaan ialah pengambilalihan kuasa negeri secara unilateral oleh Kerajaan Persekutuan sehingga menafikan autonomi negeri. 

“Sebaliknya, penyelarasan yang dicapai melalui persetujuan bersama adalah selaras dengan prinsip federalisme koperatif, iaitu suatu pendekatan yang membolehkan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri bekerjasama untuk mencapai matlamat nasional tanpa menjejaskan pembahagian kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaani,” katanya dalam kenyataan.

Zainul Rijal berkata, perbezaan syarat kemasukan, pelesenan dan kawal selia Peguam Syarie antara negeri wujud kerana bidang kuasa negeri, namun keadaan itu boleh diseragamkan melalui mekanisme tertentu.

Beliau mencadangkan penggubalan Model Enakmen Peguam Syarie sebagai rujukan bersama semua negeri, yang boleh dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Majlis Agama Islam Negeri serta badan Peguam Syarie.

Katanya, pendekatan itu telah terbukti berjaya dilaksanakan dalam penggubalan enakmen tatacara dan keterangan Mahkamah Syariah yang hampir seragam di seluruh negara.

“Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah berjaya dilaksanakan dalam penggubalan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah yang kandungannya hampir seragam di seluruh negara walaupun digubal oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya.

Zainul Rijal berkata, sebuah Majlis atau Badan Penyelaras Peguam Syarie Kebangsaan boleh diwujudkan dengan keanggotaan terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri, hakim-hakim syarie, ahli akademik serta badan-badan Peguam Syarie. 

“Badan ini tidak perlu mengambil alih kuasa pelesenan negeri, sebaliknya berfungsi sebagai institusi penyelaras yang menetapkan standard kemasukan, mengurus peperiksaan kelayakan, menyelaras latihan profesional berterusan menyediakan kod etika serta mengeluarkan garis panduan amalan terbaik. 

“Kuasa mengeluarkan sijil amalan masih kekal di tangan pihak berkuasa agama negeri, sekali gus mengekalkan autonomi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan,” katanya.

Zainul Rijal turut mencadangkan pelaksanaan sistem pengiktirafan timbal balik bagi memudahkan Peguam Syarie beramal di negeri lain tanpa perlu mengulangi proses kelayakan penuh.

Dalam jangka panjang, beliau berkata penubuhan Majlis Peguam Syarie Malaysia wajar dipertimbangkan sebagai badan profesional kebangsaan bagi menyelaras standard pendidikan, latihan, disiplin dan pembangunan kompetensi profesion itu.

Beliau turut menegaskan bahawa Perkara 76(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyediakan ruang kepada Parlimen menggubal undang-undang bagi menyeragamkan undang-undang antara negeri dengan persetujuan negeri-negeri terbabit.

Menurutnya, penyeragaman akan memberi manfaat besar termasuk meningkatkan mobiliti Peguam Syarie, menyeragamkan standard profesionalisme serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi Mahkamah Syariah.

“Penyeragaman bukan sekadar reformasi pentadbiran, tetapi langkah strategik untuk memartabatkan sistem keadilan Islam dan memperkukuh institusi Mahkamah Syariah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN