PETALING JAYA: Langkah penjimatan diperkenalkan kerajaan bukan bertujuan menghentikan semua perbelanjaan atau semua perjalanan rasmi namun langkah pengurusan fiskal bersasar bagi membantu menampung sebahagian peningkatan mendadak subsidi akibat krisis Asia Barat.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan menjelaskan sejak tercetus konflik di Asia Barat, harga minyak mentah dunia meningkat dengan ketara.
Justeru, katanya, bagi melindungi rakyat daripada menanggung beban kenaikan harga bahan api dan kos sara hidup, kerajaan memilih untuk terus menyerap beban subsidi yang jauh lebih tinggi supaya rakyat tidak perlu menanggungnya.
“Bagi membantu membiayai sebahagian daripada kos subsidi tambahan ini, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengeluarkan garis panduan penjimatan perbelanjaan kerajaan.
“Antara langkah dilaksanakan ialah mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara hanya kepada komitmen yang telah dijadualkan, mesyuarat yang diwajibkan serta urusan yang benar-benar penting dan memberi impak strategik kepada negara,” katanya hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan sebuah portal atas talian berbahasa Inggeris bertajuk “Ministers, Officials Go Around the World on 50 Trips in 50 Days” yang mempersoalkan lawatan rasmi ke luar negara ketika langkah penjimatan perbelanjaan sedang dilaksanakan.
Menurut Kementerian Kewangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mnenegaskan bahawa langkah penjimatan dilaksanakan tanpa menjejaskan sebarang perkhidmatan kritikal kepada rakyat, termasuk sektor kesihatan dan pendidikan.
Katanya, keutamaan kekal kepada perkhidmatan rakyat walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut tertakluk kepada langkah penjimatan seperti mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara, tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap perancangan pengisian jawatan, pembelian ubat-ubatan, perolehan peralatan perubatan mahupun penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Malah, katanya, dalam menghadapi ketidaktentuan rantaian bekalan global, KKM bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah melaksanakan audit pantas bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kritikal sentiasa mencukupi serta sebarang risiko gangguan dapat dikenal pasti lebih awal.
“Bagi tahun 2026, KKM menyasarkan pelantikan lebih daripada 18,000 petugas kesihatan merangkumi 4,500 Pegawai Perubatan, lebih 3,500 jururawat dan hampir 1,000 penolong pegawai perubatan, selaras dengan perancangan asal tanpa sebarang pengurangan berbanding tahun 2025.
“Peruntukan ubat-ubatan juga terus dipertingkatkan kepada RM6.5 bilion pada tahun 2026 berbanding RM6.0 bilion pada tahun 2025. Ini membuktikan bahawa langkah penjimatan tidak menjejaskan keutamaan kerajaan untuk memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
“Program Latihan Kepakaran Lanjutan telah disediakan 400 slot dengan peruntukan RM24 juta untuk tahun ini berbanding RM21.8 juta tahun 2025,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, lawatan rasmi yang memberi manfaat strategik dalam keadaan dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan bekalan global, terdapat lawatan rasmi yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan kepentingan strategik negara.
“Sebagai contoh, lawatan kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan dan Rusia baru-baru ini telah membuahkan hasil dalam memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara serta mempelbagaikan sumber bekalan tenaga jangka panjang Malaysia ketika pasaran global masih tidak menentu.
“Begitu juga penyertaan Malaysia dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa berkaitan perdagangan, tenaga, kesihatan, pertahanan dan kerjasama serantau yang penting untuk mempertahankan kepentingan negara, memperkukuh hubungan dengan rakan strategik serta memastikan negara terus mempunyai akses kepada bekalan, pelaburan dan peluang ekonomi,” katanya.
Justeru, katanya, lawatan rasmi tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah perjalanan semata-mata, sebaliknya berdasarkan tujuan, keperluan dan hasil yang dicapai untuk negara dan rakyat. – UTUSAN










