Pengendali media sosial perlu patuhi pengesahan umur - MCMC

Pengendali media sosial perlu patuhi pengesahan umur – MCMC

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen perlu mematuhi sepenuhnya obligasi statutori di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Kod Perlindungan Kanak-Kanak, CPC) dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) termasuk melaksanakan langkah pengesahan umur yang berkesan di platform masing-masing dalam tempoh ditetapkan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan tersebut dan akan mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya selaras dengan undang-undang.

Katanya, selaras dengan tanggungjawab berkanun di bawah ONSA, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun.

“Pengesahan umur itu hendaklah dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

“Mulai 1 Jun 2026, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen perlu memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun serta mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur akan dilaksanakan secara progresif dalam tempoh sehingga enam bulan oleh pemberi perkhidmatan media sosial yang berkaitan.

Dalam tempoh tersebut, pengguna sedia ada yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan tempoh sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka.

“Ia termasuk gambar dan video sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh penyedia perkhidmatan media sosial berkenaan.

“Keperluan pengesahan umur itu terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube selaras dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan dalam talian serta aspek perkembangan kanak-kanak,” katanya.

MCMC berkata, penguatkuasaan CPC dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah ONSA merupakan langkah penting mewujudkan persekitaran digital lebih selamat untuk kanak-kanak.

“CPC memperkukuh perlindungan kanak-kanak dengan mewajibkan pemberi perkhidmatan media sosial berlesen melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk (safety by design).

“Selain itu, ia turut meningkatkan perlindungan yang bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak dalam persekitaran digital negara,” katanya.

Sementara itu, RMC melengkapkan langkah berkenaan dengan mewajibkan penilaian risiko, penyederhanaan kandungan, kawalan keselamatan pengguna serta peningkatan akauntabiliti platform.

“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, pemain industri dan masyarakat bagi memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN