PETALING JAYA: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) telah diangkat sebagai penanda aras oleh Persatuan Pengakap Arab Saudi (Sasa) dalam usaha negara itu memperkasakan gerakan kepengakapan mereka.
Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr. Mohd Zin Bidin berkata, hasrat tersebut disuarakan sendiri oleh delegasi Sasa semasa sesi libat urus peringkat tertinggi di Rumah B-P, Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, pihak Sasa menunjukkan minat mendalam terhadap struktur kurikulum kepengakapan Malaysia khususnya berkaitan penganugerahan King Scout.
“Selain dapat membantu mereka memajukan pergerakan pengakap di Arab Saudi, ia juga merupakan satu bentuk sumbangan bermakna.
“Mereka sangat berpuas hati dan teruja apabila kita menyatakan kesediaan untuk berkongsi kurikulum serta sistem lencana yang kita amalkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menghadiri Majlis Makan Malam Sesi Libat Urus Messengers of Peace yang turut dihadiri wakil daripada Yayasan Pengakap Dunia (WSF) dan Pertubuhan Pergerakan Pengakap Dunia (WOSM) di sini.
Mohd Zin berkata, PPM komited untuk berkongsi kepakaran tersebut secara telus melalui saluran rasmi sebagai sebahagian daripada misi pembangunan belia antarabangsa.
“PPM akan mengambil langkah lebih proaktif bagi mengukuhkan kerjasama dengan pergerakan Pengakap di Arab Saudi pada masa hadapan,” katanya
Turut hadir pada majlis itu Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani, Pemangku Setiausaha Agung SASA, Dr. Mohammed Al-Sayed dan Pengarah Global Hubungan Luar, Kerjasama dan Pembangunan Perniagaan WOSM, Sam Williams.-UTUSAN










