Pendidikan Sukan: Pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara - Utusan Malaysia

Pendidikan Sukan: Pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pendidikan sukan sering dilihat sebagai aktiviti sampingan dalam sistem pendidikan, sedangkan hakikatnya ia merupakan komponen penting dalam pembangunan modal insan.

Ketua Wanita UMNO Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, dalam era persaingan global yang semakin mencabar, pembangunan negara tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik tetapi keupayaan negara melahirkan individu, masyarakat yang sihat, berdisiplin, berdaya tahan dan mampu bekerja dalam satu pasukan.

“Ke semua nilai ini dapat dibentuk melalui pendidikan sukan yang tersusun dan menyeluruh. Displin, ketekunan, semangat juang, kepimpinan serta menghormati peraturan merupakan nilai asas kepada pembentukan tenaga kerja yang produktif dan berintegriti,” katanya ketika menyempurnakan Acara Flagoff menghantar kontinjen anak-anak sekolah rendah dari Zon Kg Gajah ke Kejohanan Olahraga MSSD Perak Tengah, baru-baru ini.

Katanya lagi, pendidikan sukan juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.

“Peningkatan diabetes, obesiti dan penyakit jantung dalam kalangan rakyat Malaysia membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada produktiviti negara.

“Jadi, dengan menjadikan sukan sebagai budaya hidup sejak di bangku sekolah, kita dapat melahirkan generasi yang lebih sihat, aktif dan mempunyai tahap kecergasan yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Sri Rahayu turut berkata, individu yang sihat bukan sahaja dapat menyumbang secara lebih efektif kepada ekonomi negara, malah mampu mengurangkan kos penjagaan kesihatan. Kesihatan itu merupakan kekayaan yang sebenar.

Selain itu, beliau turut mengulas bahawa sukan berfungsi sebagai medium yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang. Ianya sesuai dijadikan instrumen penyatuan di Malaysia yang merupakan negara majmuk.

“Merujuk kepada Nelson Mandela yang berjaya menyatukan kulit hitam dan putih, justeru negara menjadi harmoni dan Afrika mencapai kemerdekaan,” katanya lagi.

Turut memberi contoh lain, Sri Rahayu berkata, negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia telah lama menjadikan pendidikan sukan sebagai komponen utama dalam sistem pendidikan mereka.

Hasilnya, mereka bukan sahaja berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia, malah membentuk masyarakat yang lebih sihat, berdaya saing dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

“Peringatan untuk kita semua, untuk memastikan pendidikan sukan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam pembangunan modal insan, tentunya semua mesti memain peranan seperti pihak kerajaan, warga pendidik, ibu dan bapa terutamanya.

Katanya lagi, beberapa langkah perlu diberi perhatian seperti perhebatkan pendidikan jasmani dan sukan di sekolah sebagai komponen wajib yang berkualiti, tambah baik kemudahan dan infrastruktur sukan terutama di kawasan luar bandar.

“Di samping itu, kita perlu meningkatkan latihan dan pembangunan profesional buat guru jasmani, menggalakkan penglibatan ibu-bapa dan komuniti dalam aktiviti sukan dan mewujudkan laluan kerjaya yang lebih jelas dalam bidang sukan dan sains sukan,” katanya.

Tambah Sri Rahayu, pendidikan sukan bukan sekadar melahirkan atlet, tetapi merupakan satu pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan sekaligus meningkatkan kemajuan ekonomi negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN