PETALING JAYA: Penyanyi dan bekas peserta Talk To My Manager Musim-2 (TTMM2), Viviana, menyasarkan untuk bergelar pensyarah dalam bidang muzik dan menganggap kerjaya sebagai artis sebagai pekerjaan sampingan buat dirinya.
Viviana atau Wirda Viviana Zairi, 21, berkata, impian bergelar pensyarah sememangnya sudah lama menjadi sasaran utamanya walaupun rezeki dalam dunia seni hadir tidak diduga.
“Sebenarnya sasaran saya ialah untuk menjadi pensyarah dalam bidang muzik. Bagi saya, jadi artis ini adalah kerja sampingan saya.
“Kadang-kadang tiba-tiba rezeki saya meletup. Tetapi sasaran saya memang ke arah itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Viviana mengakui tetap menyimpan hasrat untuk meneruskan legasi dangdut yang dibawa ibunya kerana melihat tidak ramai penyanyi yang benar-benar menguasai genre tersebut.
“Sebenarnya saya memang mahu teruskan juga legasi dangdut ini. Kita tahu tak ramai yang betul-betul membawakan dangdut.
“Cuma saya masih kena belajar lagi. Lenggok dangdut ini bukan mudah. Tak semua orang dapat dan tak semua orang dikurniakan lenggok itu. Kalau nak kata pop atau balada, penyanyi dalam genre itu memang sudah ramai,” katanya.
Terdahulu, Viviana merupakan salah seorang peserta Talk To My My Manager Musim-2 dan malangnya, anak perempuan kepada Ani Mayuni itu tersingkir di minggu suku akhir.
Untuk rekod, Viviana telah menamatkan pengajian dalam bidang muzik di peringkat diploma di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, dan kini sedang menunggu keputusan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda.











