PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) mahu setiap warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) meningkatkan kompetensi, memperkukuh kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan pendidikan semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap warga Kemas juga perlu menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat supaya mereka terus kekal relevan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, persekitaran pembelajaran mesti terus dipertingkatkan bagi memastikan anak-anak yang dididik menerusi tabika dan tadika Kemas menerima suasana pembelajaran kondusif.
“Saya berharap agar pendidik Kemas terus berani mencetuskan idea dan menggunakan pendekatan baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Saya akan memastikan kementerian terus memberi sokongan, termasuk menyediakan peruntukan mencukupi dan berterusan bagi melaksanakan kerja naik taraf dan pembaikan premis pendidikan awal kanak-kanak Kemas di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pendidik Kemas Tahun 2026 di sini hari ini.
Buat masa ini, katanya, tadika dan taska KEMAS kini berada di hampir 11,113 lokasi di seluruh negara selain disokong 12,166 tenaga pengajar.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sambutan Hari Pendidik Kemas pada tahun ini membawa makna cukup besar kerana jabatan itu telah berbakti selama 55 tahun sebagai institusi pendidikan rakyat yang membuka pintu ilmu kepada anak-anak Malaysia, khususnya di pedalaman.
“Kemas dari dahulu telah menjadi medan terawal dalam kehidupan anak-anak keci malah, sejak penubuhannya, jabatan ini telah menjadi pemula pendidikan kepada perjalanan lebih 8.4 juta anak Malaysia,” katanya. – UTUSAN










